Selasa, 18 Ogos 2015 | 11:00pm

Berbasikal: Fatehah 'rindu' podium


FATEHAH (tengah) meraih pingat emas dalam acara Sprint Final pada Kejohanan Berbasikal Trek GP Asia Tenggara 2015 di Velodrome Kuala Lumpur, Cheras, hari ini. Turut sama pelumba kebangsaan, Farina Shawati Mohd Adnan (kiri) yang meraih pingat perak dan pelumba Ireland, Shanon Mc Curley (kanan) yang meraih pingat gangsa. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ratu trek negara, Fatehah Mustapa berazam mengulangi kejayaan meraih pingat pada kejohanan berbasikal trek siri Piala Dunia di Cali, Colombia, Oktober ini.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mencipta sejarah apabila menaiki podium selepas meraih pingat perak dalam acara Keirin wanita pada siri ketiga kejohanan berkenaan yang berlangsung di Guadalajara, Mexico tahun lepas.

"Bagi Piala Dunia kali ini, saya hendak selesakan kedudukan saya sebab kalau ikutkan ranking, saya sudah selamat untuk layak ke Kejohanan Dunia.

"Masih ada dua bulan untuk latihan dan buat persediaan. Saya juga berharap dapat capai apa yang jurulatih harapkan dan juga dapat naik podium.

"Sudah lama saya tidak naik podium (siri Piala Dunia)," katanya ketika ditemui di Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara 2015 di Velodrom Kuala Lumpur di sini.

Kejohanan berbasikal trek siri Piala Dunia akan berlangsung dalam tiga siri iaitu siri pertama di Cali, Colombia pada 30 Oktober hingga 1 November, siri kedua di Cambridge, New Zealand (5-6 Disember) dan Hong Kong (16-17 Januari 2016).

Pelumba berusia 26 tahun yang terpaksa berehat panjang akibat demam dan tidak menyertai perlumbaan di Beijing, China baru-baru ini, membuktikan dia berada pada tahap kecergasan yang tinggi apabila meraih pingat emas acara pecut wanita pada kejohanan hari ini.

Fatehah yang mewakili Yayasan Sime Darby (YSD) menewaskan rakan selatihannya di Melbourne, Australia, Farina Shawati Mohd Adnan yang menyarung jersi negara, yang meraih perak manakala gangsa dimenangi pelumba Ireland, Shanon Mc Curley.

Esok, Fatehah akan turun beraksi dalam acara Keirin wanita iaitu acara kegemarannya.

Dia sebelum ini mempamerkan aksi cemerlang apabila meraih pingat emas dalam acara pecut dan keirin di kejohanan Piala Trek Jepun bulan lepas.

Fatehah juga pelumba wanita pertama negara yang meraih pingat dalam Sukan Asia setelah menang perak dalam acara keirin di Incheon, Korea Selatan, September tahun lepas. - Bernama

Berita Harian X