X
Rabu, 19 Ogos 2015 | 12:05am

Barat larikan khazanah Gua Perpustakaan China


PENJAJAHAN dan imperialisme Barat tidak hanya memunggah kekayaan hasil bumi tanah jajahannya di Timur, bahkan 'melarikan' khazanah kepustakaan dan keilmuan peradaban yang pernah dimiliki.

Manuskrip dari alam Melayu umpamanya tidak terkecuali menerima nasib itu sehingga sebahagian besar naskhah warisan kita berada di seluruh dunia termasuk Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat, London, Laiden dan Paris.

Ketika mengikuti program Kembara Laluan Sutera 2015 yang merangkumi destinasi Xi'an, Jaiyuguan dan Dunhuang di China, baru-baru ini, penulis menyedari nasib sama turut menimpa khazanah kepustakaan tamadun di negara Tembok Besar itu.

Sejarah 'pemunggahan' khazanah kepustakaan bangsa itu berlaku di Mogao Grottoes yang turut dikenali sebagai Seribu Gua Buddha yang terletak sejauh 25 kilometer (km) dari Dunhuang, Wilayah Gansu di barat China.

Mengikut legendanya, Mogao Grottoes dibina sejak tahun 366 selepas Masihi (SM) oleh seorang sami yang terpegun melihatkan panorama kawasan berkenaan yang kononnya dikaitkan dengan kepercayaan agamanya.

Tindakan sami berkenaan diikuti oleh sami yang lain tahun demi tahun sehingga kini ia memiliki 735 gua yang dihiasi mural lukisan dan patung bercirikan agama itu dengan luas keseluruhannya sebanyak 45,000 meter persegi.

DELEGASI Kembara Laluan Sutera 2015 yang disertai wakil media Malaysia dan DBP.
DELEGASI Kembara Laluan Sutera 2015 yang disertai wakil media Malaysia dan DBP.

Tiga lokasi penting Buddha kuno

Kini, Mogao Grottoes menjadi satu daripada tiga lokasi Buddha kuno yang terkenal di China, selain Longmen Grottoes di Luoyang, wilayah Henan dan Yungang Grottoes di Datong, wilayah Shanxi.

Pada umumnya, rangkaian gua itu menjadi tempat meditasi dan upacara agama kepada sami Buddha dengan setiap gua memiliki ciri dan hiasan yang mewakili dinasti yang menjadi latar zaman kepada pembinaannya.

Ia merangkumi 16 Kerajaan, Wei Utara, Wei Barat, Zhou Utara, Dinasti Sui, Tang Awal, Tang Kemuncak, Tang Pertengahan atau period pemerintahan Tibet, Tang Akhir, Lima Dinasti, Dinasti Song, Xia Barat dan Dinasti Yuan yang berakhir pada 1368.

Setiap pemerintahan itu memiliki ciri khas kepada mural dan patung yang digunakan dalam gua yang dibina seperti jenis dan tona warna, bentuk muka pada lukisan dewa serta penggunaan simbol keagamaan tertentu.

Bagaimanapun, satu daripada gua berkenaan digunakan sebagai ruang seumpama stor atau arkib untuk menyimpan koleksi skrol, manuskrip dan tulisan yang berusia seawal abad kelima hingga ke-11.

BINAAN Gua Perpustakaan.
BINAAN Gua Perpustakaan.

Simpan koleksi pelbagai bidang

Gua Perpustakaan itu menyimpan koleksi bukan saja mengenai agama Buddha, bahkan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sains, sastera, seni, sejarah serta geografi dan maklumat mengenai 5,000 tinggalan budaya dalam tulisan China, selain Sanskrit, Tibet, Hebrew dan bahasa yang kurang dikenali, Khotanese.

Dipercayai Gua Perpustakaan itu menyimpan koleksi lebih 50,000 manuskrip termasuk komentar kanun atau daftar karya Buddha, Confucius dan Taoisme, dokumen kerajaan dinasti di China, buku kerja, kamus serta tulisan kaligrafi.

Gua itu sebenarnya dikhaskan untuk memperingati sami Hongbian yang meninggal dunia pada tahun 862 dan berasal daripada keluarga yang kaya serta turut bertanggungjawab terhadap pembinaan gua ke-16.

Menariknya, kewujudan Gua Perpustakaan itu tidak diketahui oleh masyarakat tempatan sendiri sehinggalah pada 1900 apabila sami Taoisme, Wang Yuanlu menemui koleksi manuskrip dalam gua yang tertutup itu ketika sedang melakukan pembersihan dan mendapati ada keretakan di dinding yang rupa-rupanya selama ini melindungi gua berkenaan.

Berita penemuan itu tersebar sehinggalah diketahui sejarawan Hungary, Aurel Stein yang mewakili Inggeris dan India, sekali gus berjaya memujuk Yuanlu untuk menjualkan kira-kira 10,000 manuskrip dan skrol lukisan kepadanya.

GUA Perpustakaan itu dipercayai menyimpan koleksi lebih 50,000 manuskrip termasuk komentar kanun atau daftar karya Buddha, Confucius dan Taoisme, dokumen kerajaan dinasti di China, buku kerja, kamus serta kaligrafi.
GUA Perpustakaan itu dipercayai menyimpan koleksi lebih 50,000 manuskrip termasuk komentar kanun atau daftar karya Buddha, Confucius dan Taoisme, dokumen kerajaan dinasti di China, buku kerja, kamus serta kaligrafi.

10,000 manuskrip bernilai STG130

Sebenarnya, Yuanlu keberatan untuk bertindak begitu tetapi Stein berjaya meyakinkannya untuk menjual pada harga STG130, sekali gus menimbulkan keterujaan kepada ramai arkeologi dan sejarawan Eropah.

Antara yang berjaya 'memunggah' koleksi itu ialah ahli kaji China dari Perancis, Paul Pelliot yang memujuk Yuanlu untuk membenarkannya bermalam dalam gua itu untuk meneliti manuskrip dan skrol yang tersimpan, sebelum membawa pulang sebahagian khazanah yang sangat penting.

Pengkaji Jepun dan Russia juga tidak melepaskan peluang itu untuk membawa pulang bahagian masing-masing, malah ahli arkeologi dan sejarawan seni dari AS, Langdon Warner yang mendapati tidak ada manuskrip yang bagus lagi untuk diambil, bertindak menanggalkan sebahagian mural yang berasal dari Dinasti Tang dengan menggunakan bahan kimia khas.

Keghairahan memunggah khazanah ke luar dihalang hampir empat dekad kemudiannya tetapi hanya dapat menyelamatkan kira-kira satu perlima saja selepas Institut Penyelidikan Seni Dunhuang ditubuhkan pada 1944 dan mendapat perhatian Perdana Menteri China pertama, Zhou Enlai, pada 1956.

Koleksi dalam Gua Perpustakaan turut terselamat daripada dimusnahkan ketika Revolusi Budaya antara 1966 hingga 1976 kerana Dunhuang bukan saja terlalu jauh dari ibu negara, bahkan sebahagian pemimpin kanan kerajaan pada masa itu menyedari nilainya kepada peradaban.

Lebih terjaga di Barat

Sebahagian pihak menganggap 'pemunggahan' khazanah itu ada sisi positif kerana koleksi itu lebih terjaga di institusi di Barat yang memang memiliki teknologi pemeliharaan dan pemuliharaan yang maju berbanding kekal di tempat asal yang terdedah kepada kerosakan serta kemusnahan.

Bagaimanapun, ia tidak menafikan sama sekali sejarah hitam yang menimpa khazanah kepustakaan dan peradaban Timur yang memerlukan bangsa asalnya 'mengambil kembali' hak mereka itu.

Sudah tentu perjuangan menuntut kembali hak itu sukar dan mahal harganya tetapi sekurang-kurangnya dilakukan dengan memanfaatkan teknologi digital seperti yang dibuat melalui Projek Dunhuang Antarabangsa (IDP).

Melalui IDP yang membabitkan pelbagai institusi pada peringkat antarabangsa, khazanah peradaban seperti manuskrip, skrol, lukisan dan artifak dipindahkan ke dalam bentuk digital. Shingga kini pangkalan datanya mengandungi 33,688 manuskrip; 136,797 data entri dan 471,353 gambar yang boleh dicapai melalui http://idp.bl.uk.

Kembara Laluan Sutera tajaan Radio China Antarabangsa (CRI) dan Kedutaan China di Malaysia yang disertai wakil media negara ini serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), menunjukkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan dalam bentuk digital itu boleh mengembalikan khazanah yang pernah hilang daripada milik sesuatu bangsa.

PEMANDANGAN Mogao Grottoes dari luar.
PEMANDANGAN Mogao Grottoes dari luar.

Kaji hakikat sejarah, kearifan tempatan

Malah lebih penting, dokumentasi digital itu memberi peluang kepada generasi masa kini untuk mengkajinya sehingga mengetahui makna diri dan hakikat sejarah bangsanya, selain menggali kearifan tempatan serta keilmuan peradabannya.

Apatah lagi nasib yang sama itu turut dialami oleh negara Asia Tenggara termasuk negara ini apabila sebahagian besar manuskrip Melayu yang merangkumi ilmu agama, sejarah, sastera, perundangan dan pemerintahan serta pelbagai bidang sains dan matematik dibawa oleh pegawai tinggi penjajah dan orientalis ke negara masing-masing.

Sudah tentu usaha membawa pulang khazanah itu hampir-hampir mustahil kerana membabitkan kos yang sangat tinggi tetapi kerajaan seperti institusi pengajian tinggi (IPT) wajar membuat projek mendigitalkan bahan yang berada di luar negara khususnya manuskrip yang tidak ada dalam koleksi.

Hasrat terhadap usaha itu sudah lama kedengaran tetapi malangnya sehingga kini, ia belum direalisasikan dengan sebaik-baiknya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X