Rabu, 19 Ogos 2015 | 10:16am

Kuil lokasi serangan bom di Bangkok dibuka semula

SEORANG wanita berdoa di Kuil Erawan selepas ia dibuka semula kepada orang ramai, hari ini di tengah-tengah Bangkok, Thailand. - Foto EPA

BANGKOK: Kuil di tengah Bangkok yang menjadi sasaran pengeboman kelmarin yang meragut 20 nyawa, dibuka semula kepada orang awam hari ini dengan pihak berkuasa meneruskan pemburuan seorang suspek lelaki yang dikesan menerusi rakaman video.

Orang ramai dan pengunjung tiba di Kuil Erawan pagi ini di tengah ibu negara yang sibuk untuk mengadakan upacara keagamaan.

Polis berkata, mereka mempunyai motif terhadap lelaki yang memakai baju kuning dan menyandang beg belakang didakwa bertanggungjawab dalam serangan bom itu.

"Lelaki berbaju kuning itu bukan sahaja suspek tetapi dia seorang pengebom," kata jurucakap polis, Lt Jen Prawut Thavornsiri.

Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha menyifatkan serangan di kuil yang turut mencederakan 120 yang lain sebagai 'insiden terburuk pernag berlaku di Thailand' dan berjanji memburu suspek yang melakukannya.

Bangkok bergegar lagi malam tadi apabila satu bom paip meletup di Sathorn Pier, yang juga menjadi destinasi pelancong namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Polis turut menyiarkan beberapa gambar suspek bersama dan tanpa beg sandang belakang di media sosial dalam usaha memburunya.

Imej lelaki berkenaan diambil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kuil berkenaan sebelum letupan. - AFP

Berita Harian X