Rabu, 19 Ogos 2015 | 1:46pm

Bom Bangkok: Mangsa kelima warga Malaysia disahkan

MANGSA yang terselamat, Neoh Hock Guan 55 (tengah) beredar dari Institut Perubatan Forensik di Bangkok selepas membuat pengecaman mayat ahli keluarga yang terkorban letupan bom motosikal yang meletup berdekatan kuil Hindu menyebabkan 27 orang terkorban termasuk pelancong asing dalam letupan besar di tengah Bangkok. - Foto Aizuddin Saad

GEORGETOWN: Ahli keluarga mengesahkan jasad mangsa kelima insiden bom Bangkok, Lim Su See, 52, dijangka tiba di Pulau Pinang, malam esok.

Su See yang dilaporkan hilang sebelum ini adalah antara tujuh orang sekeluarga rakyat Malaysia yang bercuti di Bangkok ketika kejadian, jam 7 malam waktu tempatan (8 malam Malaysia) pada Isnin.

Mayat Su See dikatakan ditemui pihak berkuasa tengah malam tadi.

Su See adalah kakak kepada Lim Saw Gek, 49, yang terbunuh dalam letupan itu. Turut terbunuh adalah anak lelakinya, Neoh Jai Jun, 20; menantu, Lee Tze Siang, 35, serta cucu perempuan, Lee Jing Xuan, 4.

Suami Saw Gek, Neoh Hock Guan, 55, cedera manakala anaknya yang hamil lima bulan, Neoh Yee Ling, 33, tidak cedera kerana dikatakan tidak berada di tempat kejadian ketika letupan.

Su See, yang menetap di Singapura dikatakan mendapat taraf penduduk tetap negara itu.

Keluarga itu ke Bangkok, Sabtu lalu dengan kereta api dan dijadual kembali ke tanah air semalam.

Berita Harian X