Jumaat, 21 Ogos 2015 | 5:05pm

ETC kurangkan kesesakan di plaza tol di KL


AZIZ (tiga dari kiri), Zainudin (dua dari kiri), Lim Keng (tiga dari kanan) Pengarah Projek DUKE, Zakaria Shaffie (dua dari kanan) Pengurus Besar Expressway Touch&Go, A Azmi Jafar (kanan) bergambar selepas sidang media berkenaan kutipan tol elektronik sepenuhnya di Lebuhraya SMART, AKLEH dan DUKE yang akan bermula pada 9 September 2015. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem pembayaran tol secara elektronik sepenuhnya (ETC) di beberapa plaza tol di pusat bandar Kuala Lumpur mulai 12 tengah hari 9 September ini, dijangka dapat mengurangkan kesesakan sehingga 30 peratus.

Presiden Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM), Datuk Zainudin A Kadir, berkata pelaksanaan itu melibatkan tiga lebuh raya utama.

Tiga lebuh raya itu adalah Terowong SMART yang dikendalikan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) di bawah syarikat konsesi Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) (Syarikat Ekovest Berhad).

"Antara plaza tol yang terbabit ialah Terowong SMART di Sungai Besi, Plaza Tol Datuk Keramat (AKLEH) dan tiga plaza tol DUKE iaitu di Batu, Ayer Panas dan Sentul Pasar.

"Dengan adanya ETC ini, ia dapat mengurangkan kesesakan di plaza tol sehingga 30 peratus pada waktu puncak," katanya pada sidang media di Kompleks Operasi dan Penyelenggaraan Terowong SMART di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Sr Aziz Abdullah; Pengarah Urusan Ekovest Berhad, Datuk Lim Keng Cheng dan Pegawai Ketua Operasi Terowong SMART, Mohd Fuad Kamal Ariffin.

Zainudin yang juga Ketua Eksekutif Prolintas berkata, pengendali Terowong SMART, serta lebuh raya AKLEH dan DUKE turut mengadakan promosi melalui pemberian kad Touch 'n Go secara percuma dengan pengguna hanya perlu membayar nilai kredit sebanyak RM5, selain memberi diskaun 20 peratus bagi peranti SmartTag yang boleh dibeli dengan harga hanya RM99.

"Pihak DUKE juga menawarkan rebat tol sebanyak lima peratus kepada pengguna kenderaan Kelas 1 di Lebuhraya DUKE selama tiga bulan bermula 9 September sehingga 8 Disember. Pengguna perlu menebus rebet dalam tempoh satu bulan selepas berakhir bulan sebelumnya di Pusat Khidmat Pelanggan Lebuhraya DUKE," katanya.

Di samping itu, Zainudin berkata pihak pengendali SMART, AKLEH dan DUKE akan memberi diskaun tol sebanyak 20 peratus kepada pengguna lebuh raya itu pada 31 Ogos ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2015.

"Diskaun bagi pengguna Terowong SMART diturunkan dari RM2 kepada RM 1.60, manakala pengguna AKLEH ialah dari RM 1.50 kepada RM 1.20. Diskaun ini akan bermula dari pukul 6 pagi 31 Ogos sehingga 6 pagi 1 Sept ini.

"Bagi pengguna DUKE, kadar tol akan diturunkan dari RM2 kepada RM 1.60 bermula dari 11.59 malam 30 Ogos hingga 12 malam 31 Ogos," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X