Jumaat, 21 Ogos 2015 | 9:25pm

Berbasikal: Farina tak mahu ulangi kesilapan

KUALA LUMPUR: Pelumba wanita elit negara, Farina Shawati Mohd Adnan bertekad tidak mahu mengulangi kesilapan dalam acara Keirin pada siri kedua Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara di Velodrom Kuala Lumpur, esok.

Pada siri pertama yang berlangsung 18 dan 19 Ogos lalu, Farina gagal meraih mata berharga untuk kelayakan ke Kejohanan Piala Dunia apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

"Semasa siri pertama, memang silap saya sehingga pergerakan berjaya disekat oleh pelumba Ireland, sekali gus memberi peluang kepada pelumba Thailand untuk bergerak ke hadapan.

"Sudah pasti, saya ada strategi baru esok dan berpakat dengan Fatehah (Mustapa) untuk bantu saya. Sebab saya juga mahu mengumpul mata untuk ke Piala Dunia," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pelumba berusia 19 tahun itu, yang mula menyertai skuad berbasikal trek elit negara menjalani latihan di Melbourne, Australia sejak April, turut akan menyertai dua lagi kejohanan berbasikal trek grand prix di Taiwan dan Thailand dalam usaha mengutip mata kelayakan.

"Dalam acara keirin, saya masih 50-50 kerana ketika di Beijing, saya hanya dapat mata dalam siri pertama sebab siri kedua kena turun kedudukan.

"Saya harap sangat untuk ke Piala Dunia, dan akan buat yang terbaik di Taiwan dan Thailand," kata pelumba berasal dari Puchong, Selangor itu.

Sementara itu, dalam acara pecut wanita elit hari ini, Farina meraih pingat perak, manakala rakan sepasukan yang juga ratu trek negara Fatehah Mustapa yang mewakili Yayasan Sime Darby (YSD) meraih pingat emas.

Pingat gangsa dimenangi pelumba Ireland, Shanon McCurley yang menewaskan Fitriani dari Indonesia dalam perlumbaan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dalam acara pecut lelaki elit pula, jaguh trek negara Mohd Azizulhasni Awang yang mewakili YSD ternyata unggul dengan pingat emas selepas menewaskan rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam penentuan tempat pertama dan kedua.

Pingat gangsa dimenangi pelumba Thailand, Worayut Kapunya yang mengalahkan pelumba Brunei, Abdul Hadrie Morsidi. - Bernama

Berita Harian X