Ahad, 23 Ogos 2015 | 12:09am
SHARIFAH Sakinah dinobatkan Artis Lawak Wanita Paling Popular manakala Jep Sepahtu memenangi Artis Lawak Lelaki Paling Popular pada Anugerah Lawak Warna 2015. - Foto Mohd Khairulhelmy
SHARIFAH Sakinah bersama suaminya, Aliff Adha. - Foto ihsan @pinographyofficial

Sharifah Sakinah korban ayu demi komedi

SEKITAR 2013, Sharifah Sakinah pernah mencetuskan kontroversi gara-gara memuat naik rakaman video dirinya yang dikatakan berunsur lucah ke laman sosial popular Keek milik pelakon Anzalna.

Sebelum itu, sekitar 2012, pemilik nama sebenar Sharifah Sakinah Syed Abu Bakar ini pernah terjerut dengan kontroversi membabitkan Julia Ziegler hanya disebabkan seorang pelakon lelaki.

Tetapi semua itu sudah berlalu pergi seiring dengan status dirinya kini sebagai isteri kepada lelaki bernama Aliff Adha, 27, yang dinikahinya 28 Mac lalu.

Namun, adik kepada Sharifah Haslinda dan Sharifah Shahira itu masih selesa menjadi dirinya sendiri. Sikap gila-gila, tak control cun dan cantik, selamba dan cakap lepas, itulah gambaran sebenar beliau.

Pernah dihentam, dicerca, dikecam gara-gara video Keek itu, pelakon berusia 26 tahun itu perlahan demi perlahan membuatkan mereka yang pantas menghukum dirinya itu kembali memahami warna dirinya yang sebenar. Kini tanpa diduga, dia juga mula meletakkan satu perlambangan bahawa dirinya sebagai pelakon komedi atau pelawak.


KEMENANGAN dua tahun berturut-turut pada Anugerah Lawak Warna bagi kategori Artis Lawak Wanita Paling Popular membuktikan Sakinah mempunyai kelompok peminat tersendiri. - Foto NSTP

Kemenangan dua kali berturut-turut di Anugerah Lawak Warna tahun lalu dan baru-baru ini bagi kategori Artis Lawak Wanita Paling Popular membuktikan bahawa dia mempunyai kelompok peminat tersendiri biarpun selama ini ramai yang membencinya.

Dari satu sudut lain, dia menambah bilangan pelawak generasi baharu yang boleh dikira dengan jari. Antaranya seperti Jihan Muse, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz. Sementara pelawak generasi terdahulu pula antaranya Didie Alias, Enot, Noorkhiriah, Sharifah Shahira dan Ieda Moin. Sebelum itu lagi, kita ada Allahyarhamah Yusni Jaafar, Datin Louisa Chong, Rosnah Mat Aris, Norlia Ghani dan Kartina Aziz.

"Tak saya nafikan kalau mahu dibandingkan dengan pelawak lelaki, pelawak wanita memang berapa kerat sahaja. Ia fakta. Sebab itu saya sokong mana-mana pelakon tak kira lelaki atau wanita untuk mencuba membawa watak komedi. Cuma pelakon wanita di Malaysia hampir dan kebanyakannya lebih suka cover cun dan takut berlakon komedi kerana tebal perasaan malu.

"Pelakon wanita di negara kita ini ada yang tak lepaskan semua apabila berlakon. Ada yang memang tak 'let loose'. Jadi pelawak wanita ini sudah terbiasa kena buat muka buruk, memalukan diri sendiri dan pada satu peringkat mungkin menjatuhkan maruah, pakai baju tak cantik atau tak ikut potongan badan. Memang ramai pelakon wanita yang malu untuk buat babak komedi.


SHARIFAH Sakinah memenangi Artis Lawak Wanita Paling Popular pada Anugerah Lawak Warna 2015. - Foto Mohd Khairulhelmy

"Pelakon wanita di negara kita juga banyak dipamerkan sebagai heroin cantik, control ayu dan pose cantik. Memang kebanyakannya begitu. Pelakon komedi wanita yang ada dan muka tak tahu malu macam Jihan, Sherry dan Zulin. Malah pada satu tahap pelakon komedi seperti kami digelar gedik.

"Tapi apa-apapun saya hormat dan kagum dengan pelawak wanita generasi baharu di Malaysia. Setidak-tidaknya ada juga pelakon komedi wanita," katanya yang tabik dengan keberanian Jihan Muse menyertai pertandingan lawak dan menjadi peserta tunggal wanita yang dominan.

Sekalipun dilihat sebagai pelakon komedi, Sakinah lebih selesa mengkelaskan hanya sekadar pelakon yang cuba memikul apa sahaja genre lakonan sebaik mungkin. Sebagai pelakon, Sakinah cuba memberikan yang terbaik seperti yang diinginkan produksi dan pengarah. Sakinah mempunyai pandangannya mengenai dunia komedi dan label komedi yang diberikan kepadanya.

"Memang saya bukan pelawak atau pelakon komedi. Saya hadir atas tiket sebagai pelakon. Kalau beri watak lawak, saya akan cuba jadi pelawak dan kalau perlu watak menangis... saya akan beri sehabis baik. Cuma apabila saya berlakon komedi, akan ada label atau cop saya sebagai pelakon komedi. Daripada skrip dan keupayaan membuat adlib, saya akan cuba warnakan watak tak kira apa sahaja genre yang diberikan.

"Ketika berlakon, jika keutamaan saya untuk membuat orang ketawa...maka saya akan cuba serap roh lawak itu. Tapi ironinya, kalau saya dicampak ke atas pentas, saya memang tak boleh berlawak secara spontan. Saya jenis pelakon yang berpandukan kepada lakonan yang diberikan. Saya hanya jadi lawak apabila berlakon.


SAKINAH sah menjadi isteri kepada Aliff Adha pada 28 Mac lalu. - Foto ihsan @pinographyofficial

"Tapi tak saya nafikan, orang mungkin nampak saya ini lucu orangnya. Tapi syukurlah, tak mungkin saya dicalonkan dalam kategori komedi kalau tak dicop sebegitu. Saya anggap ia bonus. Tak mustahil kalau orang letak Datuk Siti Nurhaliza dalam kategori yang sama, beliau boleh menang kerana mempunyai kelompok peminat yang ramai," katanya.

Sesuatu yang menarik dan diperhatikan sewaktu Sakinah memberikan ucapan kemenangannya di Anugerah Lawak Warna 2015 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Jumaat lalu dengan menyebut dia selesa menjadi diri sendiri mempunyai metafora tersendiri mengenai apa yang cuba ditonjolkannya sebagai manusia dan anak seni.

Akui Sakinah lagi, berbanding tahun lalu saat namanya diumumkan sebagai pemenang, dia agak yakin dan teruja menerima trofi kemenangan itu kali ini.

"Terima kasih kepada mereka yang menyokong dan mengundi saya. Tak dinafikan selama ini, kalau hal negatif membabitkan saya pasti ada yang membenci. Lumrah hidup kita juga, manusia hanya akan nampak yang negatif dan positifnya diabaikan. Macam di laman Instagram, kalau ada pengikut yang menulis komen buruk atau negatif, saya memang tak padamnya.

"Saya tak plastik dan biarlah orang nampak yang buruk. Kalau saya padamkan komen negatif itu, umpamanya saya akan nampak baik. Begitulah kisahnya, dalam ada yang membenci, ada juga yang menyokong saya. Alhamdulillah ia bukti saya juga ada kelompok peminat yang kuat. Menjadi diri sendiri yang maksudkan itu ialah saya ikhlas dalam melakukan apa sahaja.


SHARIFAH Sakinah terkenal dengan sikap 'gila-gila', tak control cun dan cantik, selamba dan cakap lepas. - Foto ihsan @pinographyofficial

"Kemenangan ini orang mula nampak suka, sekali gus ada yang sudah memahami saya. Saya ini memang 'tak betul', sempoi, 'tintong' dan pendek kata, saya hanya menjadi diri sendiri. Saya tak perlu berusaha keras untuk nampak komedi. Kalau orang suka, mereka akan mengundi. Tiada paksaan untuk itu," katanya.

Pertemuan dengan Sakinah malam Jumaat lalu juga turut diintai sisi perkahwinannya. Malah selepas berkahwin pun, Sakinah masih menjadi dirinya seperti dahulu.

"Perkahwinan saya macam biasa. Sudah kahwin pun...saya lalui hidup ini seperti biasa. Terima kasih kepada suami yang menerima diri saya seadanya dan sangat menyokong. Suami tak kisah saya nak buat apa...mahupun berlakon watak jadi badut sekalipun. Dia siap memberikan kata semangat. Dia penyokong setia saya. Dia pun suka industri lawak di negara kita. Jadi dia pun layan sekali.

"Kalau tanya saya sudah berisi ke belum, jawapannya belum. Oh ya, Insya-Allah tahun depan, saya akan ke New York untuk mendapatkan kelayakan dalam bidang kesihatan dan kecerdasan. Saya nak tutup mulut mereka yang mempertikaikan minat saya mengajar senaman kepada orang awam selama ini. Insya-Allah perancangnya mungkin untuk tempoh tiga atau enam bulan," katanya.

Umum juga tahu Sakinah antara artis tanah air yang begitu dedikasi menumpukan perhatiannya untuk mencantikkan tubuh badan selain sanggup berkongsi ilmu dengan mereka yang mahu mengamalkan gaya hidup sihat. Fitness Sakinah yang dianjur dan diwujudkan sebelum ini menjadi manifestasi kepada apa yang ingin dibuktikannya sendiri.

Selepas lama memperlahankan aktiviti Fitness Sakinah sejak berkahwin hingga sekarang, Sakinah tak lama lagi akan habis-habisan mempromosikannya semula.

"Saya akan mendapat sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk meneruskan rutin senaman sepanjang 12 minggu kelak. Dijangka akan bermula Disember depan. Pada masa yang sama kerjaya lakonan saya masih berjalan seperti biasa. Saya sedang melunaskan baki penggambaran drama Maria Terindah arahan Kabir Bhatia. Watak saya jadi wanita psiko seperti filem Gone Girl lakonan Rosamund Pike.

"Fitness Sakinah dijangka bermula November depan dan berkemungkinan besar September ini, saya akan ke Ipoh untuk menganjurkan senaman bersama orang ramai," katanya.

gn4id:8962934

Berita Harian X