Ahad, 23 Ogos 2015 | 8:12am

#Sehatisejiwa suntik jiwa merdeka

SAMBUTAN Hari Kemerdekaan harus dihayati oleh semua lapisan masyarakat agar keamanan terus dikecapi untuk generasi akan datang.
SAMBUTAN Hari Kemerdekaan harus dihayati oleh semua lapisan masyarakat agar keamanan terus dikecapi untuk generasi akan datang.

Tema Hari Kebangsaan 2015 pada tahun ini - Sehati Sejiwa yang menggambarkan keutuhan, perpaduan, kesefahaman, bersatu dalam menempuh saat kejayaan dan detik kesusahan seluruh rakyat negara ini. Rakyat Malaysia dituntut supaya taat setia tanpa berbelah bahagi. Jiwa raga dan kesetiaan hanya kepada tanah air tercinta.

Tanpa rasa curiga apatah lagi mewujudkan onak duri dalam usaha untuk memporakperandakan negara. Lebih malang lagi jika wujud tindakan cuba menggulingkan negara, ternyata mengundang kemusnahan dan ketidaktenteraman dalam kalangan warga di tanah air tercinta.

Jika kita mengamati bait-bait lirik Hari Kebangsaan 2015 ternyata lagu ini menyuntik semangat dan roh perjuangan rakyat Malaysia. Lirik ini mengajak kita agar memantap jiwa lebih tabah dan kental menempuh segala rintangan dan dugaan yang menimpa negara ini.

Jiwa merdeka

Perayaan Hari Kebangsaan 2015 bukan sekadar retorika semata-mata. Tema kali ini mengajar rakyat Malaysia agar dapat membina semangat sehati sejiwa di mana jua kita berada. Malah mulai tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan tidak lagi disebut kali ke berapa kerana usaha ini dapat merapatkan hubungan antara rakyat tanpa mengira mereka dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak.

Lirik ini jelas menyeru agar rakyat Malaysia sehati sejiwa tanpa curiga, memantap perpaduan demi kesejahteraan bersama. Malah jarak antara negeri-negeri Borneo, iaitu

Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung bukanlah pemisah dan penghalang ke arah keutuhan bersama.

Sehati sejiwa turut membawa maksud budaya seluruh rakyat Malaysia yang berganding bahu dan bekerjasama serta bersatu dalam apa juga kejayaan dan rintangan yang berlaku di negara tercinta Malaysia.

Walaupun berbeza adat resam, kepercayaan dan budaya, namun bukan faktor untuk kita berselisihan. Masyarakat yang berjiwa merdeka meletakkan kepentingan umum lebih utama daripada kepentingan sendiri. Walaupun kita berbeza budaya, tapi kita masih mampu mencari titik pertemuan demi perpaduan dan kelangsungan bangsa Malaysia.

Suka dan duka bersama

Semangat sehati sejiwa ini terbukti ketika Malaysia ditimpa musibah, bencana atau kemalangan. Kejadian banjir besar di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis, Kedah dan di Sabah serta beberapa kawasan pedalaman dirasai bersama seluruh rakyat Malaysia. Kejadian gempa bumi di Sabah juga dirasai bersama oleh warga Malaysia. Tanpa diarah dan diminta, rakyat Malaysia membantu secara sukarela menyelamat mangsa banjir. Jelasnya, detik suka dan duka perlu dirasakan bersama dalam satu negara.

Begitu juga insiden misteri kehilangan MH370 dan tragedi MH17 yang menjadi polemik antarabangsa juga dirasai, dijiwai dalam hati nurani rakyat Malaysia. Walaupun kes ini belum lagi selesai, kita terpanggil untuk menyatakan hasrat dan doa agar semuanya mendapat jawapan yang pasti.

Ini sejajar dengan salah satu prinsip 'towering personality' iaitu individu yang berjiwa merdeka. Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang proaktif dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Individu yang berjiwa merdeka ialah berfikiran kreatif, inovatif dan penyayang. Bukan sekadar pengguna namun mampu mencipta dan menampilkan idea-idea baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat, individu berjiwa prihatin saling bantu membantu dan bertoleransi demi kelangsungan bangsa dan negara.

Suntik semangat merdeka

Prinsip Kemerdekaan bukan sekadar bebas untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati. Masyarakat yang berjiwa merdeka mestilah seorang patriot, hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka kepada kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap jumud dalam menghasilkan pemikiran berdaya maju dan menolak amalan negatif yang boleh menyebabkan jiwa terus terbelenggu.

Masyarakat yang berjiwa merdeka bukanlah masyarakat yang terlepas daripada peraturan undang-undang dan etika, sebaliknya asas-asas murni itu hendaklah digunakan sebagai landasan membangunkan masyarakat dan negara yang teguh dan utuh.

Setiap potensi anggota masyarakat harus digerakkan sebijaksana mungkin hingga mampu memartabatkan jati diri, imej keluarga, integriti masyarakat, keutuhan negara berasaskan patriotisme yang tinggi dan kesetiaan tidak berbelah bahagi.

Jiwa merdeka harus mampu melakukan pilihan dan membuat saringan serta bersikap terbuka terhadap faktor dari luar lingkungan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan nilai etika dan sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan tamadun mengikut acuan kita sendiri.

Jiwa merdeka bukan hanya terletak pada slogan, tema atau pernyataan luaran semata-mata tetapi lebih daripada itu menuntut pengorbanan dan keperluan bekerja bersungguh-sungguh ke arah menyumbang dan membangunkan negara.

Memiliki jiwa yang merdeka bermaksud mempunyai ketenangan hati dan minda, kehidupan membahagiakan di samping insan-insan tersayang. Untuk memiliki jiwa merdeka bukan bermaksud menggunakan saluran apa sahaja untuk melebar luaskan pandangan dan menuduh pihak tertentu dengan sebebasnya sehingga melanggar undang-undang negara.

Hargai erti kemerdekaan

Semangat 'sehati sejiwa' perlu diterap dalam diri generasi muda masa kini ini agar mereka menghargai erti kemerdekaan seterusnya mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Program seperti Semarak Sehati Sejiwa Komuniti 1Malaysia dan program kemerdekaan yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dapat membina semangat bersatu dalam menghadapi cabaran-cabaran yang ada.

Semangat semarak ini perlu ditekankan khususnya dengan perisian semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda kerana erti kemerdekaan itu bakal melahirkan kekuatan ekonomi negara. Semangat perpaduan tanpa huru-hara atau semangat curiga-mencurigai antara satu sama lain perlu ditanam dan disuburkan agar rakyat Malaysia menghayati nilai dan semangat kemerdekaan sebenar.

Roh dan semangat sehati sejiwa perlulah dihayati dan diinsafi. Jadilah rakyat yang setia kepada negara yang satu - Malaysia dan sejiwa dalam menempuh segala dugaan dan rintangan bersama demi negara tercinta.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X