Ahad, 23 Ogos 2015 | 9:31pm

Olahraga: Bolt juarai 100 meter pecut di Kejuaraan Dunia


USAIN Bolt selepas memenangi acara 100 meter lelaki akhir pada 15 IAAF Kejohanan Dunia di Stadium Nasional di Beijing, China. - Foto REUTERS

BEIJING: Bintang pecut Jamaica, Usain Bolt terus gagal digugat apabila memenangi acara pecut 100 meter di Kejuaraan Dunia 2015, di sini mengatasi pelari Amerika Syarikat (AS), Justin Gatlin.

Kemenangan itu mengekalkan mahkota kejuaraan dunia yang dimilikinya selain status selaku manusia terpantas di dunia, ketika ini.

Bolt mencatatkan masa 9.79 saat, catatan terpantasnya sepanjang tahun ini dengan Gatlin menamatkan perlumbaan dengan catatan 9.80 saat.

Gangsa pula dimenangi pelari Kanada, Andre de Grasse dan seorang lagi pelari AS, Trayvon Bromell selepas kedua-duanya mencatatkan masa 9.92.

Kedua-duanya dianugerahkan pingat gangsa kerana catatan yang hanya dibezakan dengan perpuluhan 1000 saat.

Pemegang rekod dunia dan juara Olimpik, Bolt kini tidak pernah tewas dalam acara 100 meter atau 200 meter dalam kesemua enam kejuaraan major sejak 2007.

"Ini benar-benar amat bermakna kerana saya bergelut sepanjang musim," kata Bolt yang berdepan kecederaan sebelum ini.

"Ia membuatkan saya untuk memikirkan apa masalahnya. Jadi saya amat gembira."

Gatlin, 33 yang juga pemenang pingat emas Olimpik dan Kejuaraan Dunia sebelum kebangkitan Bolt dan penggantungan akibat bahan terlarang selama empat tahun.

Kemenangan Bolt juga disifatkan mencetus kelegaan kepada olahraga yang ketika ini berdepan skandal dakwaan doping di kalangan atletnya.

"Saya faham kenapa (ramai orang mahu saya menang)," kata Bolt. "Namun seperti saya cakapkan, saya mahu melakukannya untuk diri saya. Ia adalah perkara yang besar," katanya. - Reuters

Berita Harian X