Rabu, 26 Ogos 2015 | 3:16pm

Hakimi gagal mara ke peringkat akhir Kejohanan Dunia

JAGUH lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail ketika beraksi pada Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) di Beijing, China hari ini. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail gagal mara ke peringkat akhir Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) di Beijing, China hari ini.

Muhammad Hakimi, 24, yang diundi dalam kumpulan B, menduduki tangga ke-13 dengan catatan 15.93 meter (m), sekali gus menduduki tangga ke-27 daripada 28 peserta keseluruhan di kejohanan yang berlangsung di Stadium Nasional Beijing itu.

Atlet berasal dari Felda Rentam, Pahang itu gagal mempamerkan aksi kompetitif apabila catatan yang dibuatnya jauh daripada catatan terbaik peribadi 16.76m, yang dilakukannya pada Sukan SEA di Singapura, Jun lepas.

Kali pertama berada di pentas Kejohanan Dunia, Muhammad Hakimi mengakui kurang pengalaman berdepan jaguh dunia menyebabkan beliau gagal mengawal tekanan sehingga menjejaskan prestasinya.

"Prestasi hari ini sangat mengecewakan kerana jauh dari catatan terbaik peribadi. Ini juga penyertaan pertama di kejohanan yang besar dan mungkin saya terlalu menekan diri untuk melompat jauh sehingga hilang rentak lompatan.

"Saya harap dapat peluang beraksi lebih banyak lagi di peringkat tinggi supaya dapat membaiki kelemahan daripada segi mengawal tekanan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Di Beijing, seramai 28 atlet seluruh dunia bertanding dan hanya 12 terbaik atau mencatat jarak lompatan 17.00m layak ke peringkat akhir untuk merebut gelaran juara dunia acara lompat kijang.

Lima catatan terbaik dilakukan atlet Cuba, Pedro P Pichardo dengan 17.43m diikuti Christian Taylor dari Amerika Syarikat (17.28m), Marian Oprea dari Romania (17.07m), Omar Craddock dari Amerika Syarikat (17.01m) dan Nelson Evora dari Portugal (17.01m).

Untuk rekod, Muhammad Hakimi yang berada pada ranking ke-47 dunia, mendapat tiket wildcard menyertai kejohanan itu selepas meraih pingat emas di Sukan SEA Singapura dengan lompatan sejauh 16.76m, memadam rekod temasya 16.67m, yang dibuat atlet Vietnam, Nguyen Van Hung pada Sukan SEA 2013 di Myanmar. - Bernama

Berita Harian X