Khamis, 27 Ogos 2015 | 9:16pm

Olahraga Dunia: Bolt menang acara 200 meter, ketepi Gatlin


USAIN Bolt (tengah) memenangi acara 200 meter pada saingan final Kejohanan Olahraga Dunia di Stadium Sarang Burung, Beijing sebentar tadi, selepas mengatasi pesaingnya termasuk Nickel Ashmeae (kiri), Anaso Jobodwana (dua dari kiri) dan Zharnel Hughes (kanan). - Foto AFP

BEIJING: Atlet Jamaica, Usain Bolt menewaskan pesaingnya dari Amerika Syarikat Justlin Gatlin untuk muncul juara acara 200 meter pada Kejohanan Olahraga Dunia di Stadium Sarang Burung di sini, sebentar tadi.

Ia adalah kejayaan kali keempat berturut-turut buat atlet ini pada saingan peringkat dunia, sekali gus menambah gelaran juara acara 100 meter yang dimenanginya pada Ahad lalu.

Bolt mencatat masa 19.55 saat untuk meneruskan dominasinya dalam acara pecut sejak mengejutkan dunia pada temasya Sukan Olimpik Beijing 2008 di stadium sama.

Gatlin yang baharu saja selesai menjalani hukuman penggantungan akibat kesalahan dua kali kes doping, mencatat 19.74 saat, manakala pelari Afrika Selatan, Anaso Jobodwana di tempat ketiga dengan masa 19.87 saat.

Dengan kemenangan itu, bermakna Bolt sudah memenangi 11 daripada 12 acara individu Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia sejak mencipta nama di sini pada 2008.

Dia hanya tercicir ketika pada Kejohanan Dunia Di Daegu, Korea Selatan bagi acara 100 meter akibat pembatalan permulaan. - AFP

Berita Harian X