Jumaat, 28 Ogos 2015 | 12:04am
Skuad Harimau Muda C yang beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak Piala AFF B-19 di Stadium Nasional Laos, Vientiane, Laos, malam tadi.

Malaysia hampiri slot separuh akhir Piala AFF B-19

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Muda C (Bawah 19) menghampiri slot separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF B-19 selepas seri tanpa jaringan dengan Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan B di Stadium Nasional Laos, Vientiane, Laos, malam tadi.

Satu mata yang diperoleh skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras itu sudah memadai untuk mereka kekal di kedudukan teratas Kumpulan B dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan.

Malaysia sebelum ini mengalahkan Timor Leste 2-1 pada aksi pembukaan, Ahad lalu sebelum melakar kemenangan selesa 4-0 ke atas Singapura pada Selasa.

Pada aksi hari ini, Vietnam menguasai babak awal perlawanan untuk memburu jaringan pembukaan, namun dihampakan kekebalan benteng pertahanan Malaysia.

Penyerang muda negara, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, yang meledak tiga gol setakat ini, terpaksa dikeluarkan pada minit ke-17 selepas mengalami kecederaan lutut dan ia nyata memberi kesan kepada jentera serangan Malaysia untuk memburu gol awal.

Sementara itu, Hassan Sazali gembira dengan keputusan perlawanan dan memuji anak buahnya yang menampilkan aksi membanggakan.

"Pemain begitu komited dan bermain mengikut arahan. Kami kini mahu menang dalam perlawanan seterusnya Sabtu ini (menentang Myanmar). Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami tidak boleh memandang mudah mana-mana pasukan," katanya.

Jurulatih Vietnam, Hoang Anh Tuan pula berkata, keputusan itu adalah adil untuk kedua-dua pasukan dan menganggap Malaysia sebagai antara pasukan terkuat dalam kejohanan kali ini. - BERNAMA

Berita Harian X