Sabtu, 29 Ogos 2015 | 12:12am
PENGACARA, (dari kiri) Zulin Aziz, Datuk AC Mizal dan Sherry Al Hadad pada Anugerah Lawak Warna di MAEPS, Serdang. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENGACARA, (dari kiri) Zulin Aziz, Datuk AC Mizal dan Sherry Al Hadad pada Anugerah Lawak Warna di MAEPS, Serdang. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
ZABARINA (kiri) dan Imuda pada Anugerah Lawak Warna di MAEPS, Serdang. - Foto Shiraz Ali
ZABARINA (kiri) dan Imuda pada Anugerah Lawak Warna di MAEPS, Serdang. - Foto Shiraz Ali
DARI kiri, Imuda, Sathia dan Khatijah Tan pada Anugerah Lawak Warna di MAEPS, Serdang. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
DARI kiri, Imuda, Sathia dan Khatijah Tan pada Anugerah Lawak Warna di MAEPS, Serdang. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pelawak bukan badut, perlu buat penyelidikan


JIKA dahulu, dunia lawak atau komedi mungkin hanya dilihat sebagai sebagai picisan atau sekadar selingan sesebuah program semata-mata.

Namun, siapa menduga lawak kini menguasai industri seni. Tidak kurang juga pelawak yang berpeluang memiliki program sendiri dan menjadi rebutan penerbit drama serta filem.

Syarikat filem menggunakan formula komedi untuk menarik penonton tanah air. Lihat sahaja di era 90-an, jenama Senario mencipta fenomena selepas menjuarai pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan siaran TV3. Ketika itu, zaman kebangkitan Senario tak perlu dipertikaikan lagi. Kehangatan itu terus dimanfaatkan penerbit filem untuk menghasilkan beberapa siri filem menggunakan jenama kumpulan berkenaan selain drama mereka di TV3.

Tidak hanya mewarnai pentas filem, pelawak tanah air turut diberi mandat sebagai pengacara majlis seperti penganjuran Anugerah Bintang Popular (ABP) BH.

Tak terhenti di situ, stesen televisyen juga giat menerbitkan program pencarian bakat lawak, yang mendapat sambutan hebat dengan ganjaran kemenangan yang lumayan, malah pelawak juga diiktiraf menerusi kategori yang dipertandingkan dalam pelbagai majlis penganugerahan.

Prestij komedi semakin terserlah apabila turut dipentaskan di premis terkenal, Istana Budaya. Pementasan Lawak Ke Der, Cuci The Musical, Maduku Kalut, Bahayanya Wanita, antara yang mengetengahkan genre komedi.

AFDLIN Shauki. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
AFDLIN Shauki. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Hakikatnya, berlawak bukan semudah yang dilihat. Seperti kata pelakon, penerbit dan juga pelawak, Afdlin Shauki, pelawak yang bagus sebenarnya perlu banyak membuat persediaan.

"Mereka perlu tahu apa yang patut ditekankan dalam setiap lawak yang disampaikan. Lawak yang dibuat itu juga kita tak mampu menduga akan jadi lawaknya atau sebaliknya. Sebagai pelawak, ada dua kebarangkalian yang boleh berlaku...sama ada orang gelak atau orang herdik dan kecam.

"Mahu atau tidak, risiko itu harus diterima dan dihadapi. Menerima baik buruk itu dengan hati terbuka," katanya.

Apa yang lebih penting, kata Afdlin, pelawak juga tidak perlu menjadi badut. Ramai pelawak yang dikenalinya adalah seorang yang serius.

Baginya badut lebih kepada pelawak generasi kanak-kanak, yang memerlukan lawak yang mudah tanpa perlu berfikir panjang.

"Lawak pun ada banyak peringkat dan disiplin. Badut itu lebih pada memberi keceriaan dan gelak tawa kepada kanak-kanak atau insan malang. Pelawak jenis standup comedy pula contohnya, lebih kepada isu semasa, keadaan sekeliling dan ia lebih tertumpu kepada orang dewasa yang menuntut mereka untuk berfikir," katanya.

Bagi Datuk AC Mizal, badut juga sebahagian daripada komedi, namun pelawak tidak boleh menjadi badut.

Pelawak yang bagus, katanya, perlu ada sisi cerdik, menggunakan otak, rajin membaca dan membuat penyelidikan.

"Pelawak tidak boleh syok sendiri sebaliknya perlu peka dengan kehendak penonton. kita kena tahu apa yang orang nak. Kalau kita bersikap pentingkan diri sendiri dan hanya mengharapkan orang memahami lawak kita, itu sudah jadi syok sendiri. Kirim salam dan minta maaflah kalau bersikap ego sebegitu. Kita bekerja untuk bagi orang tengok dan terhibur bukan untuk keseronokan sendiri.

"Tambah pula dunia sekarang terdedah dengan laman sosial dan saluran muzik Youtube. Ini sedikit sebanyak memberi cabaran kepada pelawak untuk menghasilkan lawak yang boleh diterima ramai," katanya.

IEDA Moin. - Foto Maya Sarina Mahat
IEDA Moin. - Foto Maya Sarina Mahat

Pelawak perlu bijak menghasilkan idea yang boleh menggeletek hati penonton, kata Ieda Moin.

Melawak bukan kerja senang, tambahnya. Bukan mudah untuk membuat orang ketawa.

"Orang nampak macam 'kacang' apabila sudah bersiaran atau dipertontonkan. Hakikatnya, kita yang melakukannya dan nak buat orang ketawa, bukan mudah ya! Kadang-kadang lawak yang dibuat itu terdorong jadi seperti lawak 'bodoh'. Itu kalau lawak kita sampai dan orang boleh gelak. Tapi kalau sebaliknya, kita kena tebal muka.

"Ada yang terlalu mencuba untuk membuatkan orang ketawa. Ada pula yang sekadar menggunakan bahasa badan tetapi mampu buat orang ketawa. Semua berbalik kepada bakat yang ada. Saya sendiri tak meletakkan diri saya sebagai pelakon komedi tapi orang yang menonton lakonan saya pantas melabelkan sebegitu.

Kata Imuda, berlawak itu satu anugerah dan tidak semua orang mempunyai keupayaan untuk melakukannya.

"Tak mungkin benda itu akan jadi kelakar kalau ia dilakonkan oleh mereka yang tak pandai berlawak. Tak semua orang boleh menyerlahkan sisi komedi. Saya sendiri sebenarnya seorang pelakon yang serius. Tapi apabila diberi watak komedi, saya akan cuba buat yang terbaik.

"Saya asalnya seorang kartunis. Kerja saya mencari ilham dan idea yang lucu. Saya timba pengalaman daripada buat kartun. Jadi, saya adaptasi acuan melawak itu daripada melukis kartun ke pentas lakonan," katanya.

LAN Pet Pet. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
LAN Pet Pet. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pelawak yang dicungkil bakatnya daripada pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1994, Lan Pet Pet, juga mengakui membuat lawak bukan satu perkara yang mudah.

Lan Pet Pet yang kemudiannya menyertai kumpulan Senario berkata, ada pelawak yang berlawak menggunakan dialog dan ada yang memilih menggunakan bahasa badan bagi membuat penonton terhibur, malah ada yang selesa bekerja secara solo dan tidak kurang juga yang suka bekerja secara berkumpulan.

Beliau sendiri asalnya bekerja sendirian dan kemudian secara berkumpulan apabila menyertai Senario. Baginya, bekerja sendiri atau berkumpulan, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghidupkan bakat komedi yang dianugerahkan kepadanya.

Antara generasi terkini pelawak, Jep Sepahtu, turut mengakui kepayahan untuk membuat lawak.

"Realitinya, bukan senang nak buat lawak. Lawak ini bukan macam lagu yang boleh diputar dan dimainkan berbelas tahun, boleh didengar bila-bila.

"Berlawak itu seperti rahsia. Hari ini beritahu lawak kita, esok dipersembahkan dan sudah tak rahsia lagi. Lawak tak boleh diulang semula. Kalau nak ulang semula kena pusing sana sini sedikit dan dipersembahkan di tempat berbeza.

"Pelawak perlu kreatif dan banyak berfikir. Ia bukan sehala. Lawak itu perlu jadi dua hala dan pada masa sama, kena pastikan lawak itu tak menyentuh sensitiviti," katanya yang mula menempa nama selepas menjuarai Raja Lawak 3 dan Maharaja Lawak 2011 bersama Kumpulan Sepah.

Berbanding pelawak dahulu, generasi pelawak masa kini dilihat mampu menjana pendapatan tinggi dan hidup mewah. Ikuti siri seterusnya, esok.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X