Ahad, 30 Ogos 2015 | 12:06am

Hidup mewah dengan berlawak


PELAWAK dahulu dan sekarang sangat berbeza. AR Badul ketika berucap pada majlis Anugerah Lawak Warna 2015 baru-baru ini, juga mengakui pelawak dahulu mengambil masa yang lama untuk menyerlah.

Tidak ada pentas atau program besar untuk membuka peluang kepada pelawak, malah pelawak dahulu terpaksa pergi ke tapak pesta umpamanya untuk menjual bakat dan menaikkan nama sendiri.

Malah, kehadiran pelawak dahulu hanya dilihat untuk memenuhi acara selingan sesebuah program.

AR Badul, pemenang Anugerah Khas Juri, Pencapaian Komedi Sepanjang Zaman menerusi Anugerah Lawak Warna di MAEPS. - Foto Mohd Khairulhelmy
AR Badul, pemenang Anugerah Khas Juri, Pencapaian Komedi Sepanjang Zaman menerusi Anugerah Lawak Warna di MAEPS. - Foto Mohd Khairulhelmy

Keadaan amat jauh berbeza kebelakangan ini. Pelbagai program lawak diterbitkan, malah pertandingan lawak juga semakin rancak diadakan bagi mencari bakat baharu.

Lebih menarik, pelawak yang dahulunya menjadi selingan program, kini menjadi bintang atau fokus utama sesebuah program.

Senario itu jugalah yang menjadikan pelawak hari ini menjana pendapatan lumayan dan mampu hidup mewah.

Pelawak yang juga penerbit, Afdlin Shauki berkata, tanpa pelawak dahulu, tidak akan ada generasi pelawak sekarang.

"Pelawak dahulu yang mengasaskan apa yang kita ada sekarang. Macam ketika saya terbabit dengan segmen persembahan di Anugerah Lawak Warna 2015, Zainal Abidin (penyanyi) berkata, dahulu orang tak pandang pelawak semua ini," katanya.

Beliau berkata, pelawak dahulu sekadar penyeri di segmen selingan, umpamanya, kalau ada persembahan atau acara tertentu, pelawak diundang ketika memberi laluan iklan untuk buat lawak, tamat iklan, pelawak ini terus dihalau sekalipun lawaknya belum selesai.

"Martabat pelawak ketika itu sangat rendah. Padahal kerja yang dilakukannya bukan kerja mudah. Pelawak ini umpama mereka yang menghiburkan orang supaya tak bosan.

"Hari ini, pelawak diangkat ke satu tempat yang lebih baik. Kalau pelawak boleh memandu kereta mewah seperti Ferrari, Audi R8 dan Bentley, tahapnya itu dilihat sudah tinggi. Orang kebanyakan pun belum tentu boleh pakai kereta mewah macam itu. Tapi itu pencapaian secara zahir, namun ia sedikit sebanyak menjadi petunjuk yang pelawak juga mampu hidup mewah dengan hanya berlawak," katanya.

Artis Bahru Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH 2013 dan Juara Bintang Mencari Bintang 2013, Achey, mengakui pelawak zaman sekarang sangat beruntung berbanding pelawak dahulu.

"Tetapi generasi pelawak kini patut berterima kasih kepada pelawak generasi lama kerana membawa tahap komedi sampai ke peringkat sekarang. Kami ini umpama menumpang usaha yang dibawakan mereka sejak zaman dahulu.

"Allahyarham Harun Salim Bachik antara individu yang banyak membimbing saya menjadi pelawak yang baik. Saya juga suka gaya Allahyarham Din Beramboi, yang menjadi dirinya sendiri ketika berlawak," katanya.

Beliau bersyukur kerana kerjaya sebagai pelawak banyak mengubah kehidupannya sekeluarga tetapi menafikan kehidupannya mewah.

"Nak kata mewah itu tidaklah juga. Tapi, Alhamdulillah, saya senang dengan kehidupan sekarang dan boleh bantu keluarga. Kami sekeluarga sudah tak sesusah dahulu dan dapatlah juga salurkan bantuan kepada keluarga," katanya.

 DATUK AC Mizal, pemenang Pengacara Lawak TV Paling Popular menerusi Anugerah Lawak Warna di MAEPS. - Foto Mohd Khairulhelmy
DATUK AC Mizal, pemenang Pengacara Lawak TV Paling Popular menerusi Anugerah Lawak Warna di MAEPS. - Foto Mohd Khairulhelmy

Bagi Datuk AC Mizal yang dinobatkan sebagai Pengacara Lawak TV Paling Popular, ramai pelawak masa kini yang hidup mewah hanya dengan berlawak.

Beliau berkata, keadaan itu sebenarnya banyak bergantung pada usaha pelawak itu sendiri.

"Mereka bekerja keras. Mereka berusaha untuk menampilkan idea yang segar dan baharu buat penonton. Apa yang penting, pelawak sekarang perlu peka dengan isu semasa dan tidak meniru gaya pelawak lain. Perlu ada personaliti tersendiri dan sentiasa menerokai benda baharu," katanya.

SHARIFAH Sakinah, pemenang Artis Lawak Wanita Paling Popular (kanan) dan Jep Sepahtu, pemenang Artis Lawak Lelaki Paling Popular menerusi Anugerah Lawak Warna di MAEPS. - Foto Mohd Khairulhelmy
SHARIFAH Sakinah, pemenang Artis Lawak Wanita Paling Popular (kanan) dan Jep Sepahtu, pemenang Artis Lawak Lelaki Paling Popular menerusi Anugerah Lawak Warna di MAEPS. - Foto Mohd Khairulhelmy

Jep Sepahtu bersetuju pelawak sekarang hidup mewah. Beliau sendiri yang boleh dianggap pelawak era baharu ini, dilihat murah rezeki dalam kerjaya yang dilakukan.

Sejak menceburi bidang lawak, Jep Sepahtu mencipta hatrik apabila dinobatkan sebagai Artis Lawak lelaki Paling Popular pada Anugerah Lawak Warna selama tiga tahun berturut-turut.

Beliau juga memenangi kategori Artis Komedi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH 2013, malah, menerusi kumpulan yang dianggotainya sebelum ini, Sepah, Jep dan rakannya menjuarai pertandingan Raja Lawak musim ketiga dan Maharaja Lawak Mega pada 2011.

"Alhamdulillah, saya masuk ke persada seni ketika Astro mewujudkan saluran Astro Warna. Dahulu, nak tengok program komedi sangat terbatas. Contohnya, program Senario atau Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang disiarkan selama setengah jam dan hanya seminggu sekali.

"Hari ini menerusi Astro Warna, tiap-tiap hari kita boleh tengok cerita lawak. Kewujudan Astro Warna beri warna dan platform untuk saya, sekali gus dapat menambah rezeki kepada pelawak baharu seperti saya," katanya.

Memanjatkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya, Jep mengakui pengiktirafan kepada pelawak pada masa kini adalah hasil usaha keras pelawak terdahulu.

"Pelawak dahulu bergelut untuk memartabatkan komedi. Dulu hanya sekadar tempelan atau sekadar penyeri ketika memberikan laluan iklan. Sekarang sudah terbalik, program lawak itu pula jadi program keseluruhan dan sebagai selingan ditampilkan nyanyian.

"Saya amat berterima kasih kepada pelawak terdahulu kerana terus memartabatkan komedi sampai saat ini. Dunia lawak sudah tak dipandang sepi. Ia diangkat ke suatu tahap tersendiri, tidaklah ke tahap terlalu hebat. Tetapi saya bersyukur ada juga yang mula memberi perhatian kepada komedi," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X