Ahad, 30 Ogos 2015 | 10:53pm

Jerebu tahap sederhana diramal landa pantai barat dan timur

KEADAAN jerebu di sekitar Shah Alam mencatat Indeks Pencemaran Udara mencatatkan 74 iaitu pada paras sederhana. - Foto Shazreen Zamzuri
KEADAAN jerebu di sekitar Shah Alam mencatat Indeks Pencemaran Udara mencatatkan 74 iaitu pada paras sederhana. - Foto Shazreen Zamzuri

PUTRAJAYA: Kawasan pantai barat serta pantai timur Semenanjung diramal mengalami keadaan jerebu pada tahap sederhana dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam dari sekarang, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, imej satelit Hysplit yang diperoleh Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan asap jerebu dari titik panas di wilayah Sumatera dijangka bergerak merentasi Riau serta Selat Melaka seterusnya ke arah pantai timur dalam tempoh dua hari.

Wan Junaidi menerusi satu kenyataan di sini hari ini, berkata keadaan jerebu juga dijangka berlaku di bahagian barat dan utara Sarawak.

Ini disebabkan Hysplit turut mengesan asap jerebu sederhana dari titik panas di Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Barat, yang dijangka bergerak ke arah barat Sarawak dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam berikutnya.

"Sementara itu, asap jerebu sederhana dari titik panas di Kalimantan Timur dijangka bergerak ke arah Laut China Selatan merentasi utara Sarawak dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam berikutnya," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X