Isnin, 31 Ogos 2015 | 12:07am
ADUN wanita pertama ini disebat ibunya hingga bermandi darah dan berbekas parut kerana tindakannya menyerahkan gelang emas perkahwinan dalam usaha menuntut kemerdekaan. - Foto Dzulkeffli Mustapha
ADUN wanita pertama ini disebat ibunya hingga bermandi darah dan berbekas parut kerana tindakannya menyerahkan gelang emas perkahwinan dalam usaha menuntut kemerdekaan. - Foto Dzulkeffli Mustapha
PENGORBANAN Siti Rahmah demi parti dan kemerdekaan negara menjadi sebutan hingga ke hari ini. - Foto Dzulkeffli Mustapha
PENGORBANAN Siti Rahmah demi parti dan kemerdekaan negara menjadi sebutan hingga ke hari ini. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Korban gelang kahwin demi kemerdekaan

[email protected]


TARIKH keramat 31 Ogos 1957 menjadi permulaan manis apabila Malaysia memperoleh kemerdekaan dengan sambutan rasminya diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Bagi individu yang merasai perit getir untuk mendapatkan kemerdekaan negara, tarikh itu tidak mungkin dilupakan, hinggakan sentiasa mengingati nostalgia berkenaan.

Ini dilalui sendiri bagi wanita pertama menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terentang, Negeri Sembilan, Datuk Siti Rahmah Kassim, 89.

Beliau bukan wanita asing dalam susur galur perjuangan UMNO berikutan kesanggupannya berkorban harta demi parti dan kemerdekaan.

Kesanggupan beliau memberikan gelang emas hadiah perkahwinannya kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi membiaya perjalanan Bapa Kemerdekaan itu ke London, menjadi sebutan hingga ke hari ini.

DATUK Siti Rahmah Kassim. - Foto Dzulkeffli Mustapha
DATUK Siti Rahmah Kassim. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Gara-gara pemberian itu, anak kelahiran Batu Hampar, Negeri Sembilan disebat ibunya hingga berbekas parut dan bermandikan darah sehingga terpaksa dibawa mendapatkan rawatan di klinik, ceritanya ketika memulakan bicara.

Ketika penulis menemubual beliau di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Sembilan baru-baru ini, ingatannya terhadap kemerdekaan masih terakam kemas.

"Tindakan menyerahkan gelang emas itu didorong keinginan membuak-buak untuk membantu Tunku Abdul Rahman. Masih saya ingat, beliau menitiskan air mata, kemerdekaan negara ditagih, tetapi kita tidak punya apa-apa.

"Demi negara, saya tidak teragak-agak berkorban apa saja, naluri itu semakin kuat apabila mengingatkan ustazah di Madrasah Al-Huda tempat saya belajar di Pulau Pinang, tidak henti-henti menempelak Malaysia yang belum merdeka berbanding negaranya, Indonesia," katanya.

SITI Rahmah sanggup memberikan gelang emas hadiah perkahwinannya kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi membiaya perjalanan Bapa Kemerdekaan itu ke London. - Foto Dzulkeffli Mustapha
SITI Rahmah sanggup memberikan gelang emas hadiah perkahwinannya kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi membiaya perjalanan Bapa Kemerdekaan itu ke London. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Kesempatan menjadi ADUN Terentang selama dua penggal sejak 1959, membolehkan Siti Rahmah mencurah bakti kepada masyarakat.

"Semangat cintakan negara tidak sama seperti perasaan cinta kepada sesama manusia. Perjuangan kita disusuli rasa tanggungjawab kepada amanah, memerlukan keikhlasan dan semangat mempertahankan apa yang dikecapi.

"Saban tahun detik kemerdekaan sangat dinantikan. UMNO adalah landasan kepada saya berbakti kepada masyarakat, menyuburkan semangat perpaduan dan menyemarakkan perjuangan abadi," katanya.

Beliau berkata, selagi hayat dikandung badan, beliau akan berusaha menyemarak semangat patriotik supaya tercinta itu tidak tergadai.

"Misalnya apabila dilantik menjadi wakil rakyat, pikul amanah sebaiknya. Usahakan supaya taraf hidup rakyat dipertingkatkan, sumber dimanfaatkan ke saluran sepatutnya dan tegakkan kepentingan agama, bangsa dan negara," katanya.

Peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara tidak wajar diperkecilkan, tegas wanita yang mempunyai lima cahaya mata ini.

Katanya, meskipun hanya Tunku Abdul Rahman, Tun Sambanthan, Tun Tan Cheng Lok dan rombongannya ke England untuk menuntut kemerdekaan tanah air, namun sumbangan wanita tidak harus dipinggirkan.

"Tokoh seperti Ibu Zain, Khadijah Sidek, Tun Fatimah Hashim dan Tan Sri Aishah Ghani antara serikandi yang disegani dan menjadi sebutan hingga kini.

"Mereka ini menjadi srikandi negara dan mempunyai sumbangan besar dalam memajukan bangsa, agama serta negara. Justeru, setiap warga negara, harus mempunyai semangat sayangkan negara melebihi apa saja," katanya.

SITI Rahmah bersemangat melaungkan Merdeka. - Foto Dzulkeffli Mustapha
SITI Rahmah bersemangat melaungkan Merdeka. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Bekas guru di Sekolah Perempuan Melayu Sungai Setar, Parit Buntar, Perak mengakui semangat juang dan karier politiknya adalah sokongan padu daripada suaminya, Allahyarham Ustaz Mohd Majzub Yunus.

Perjuangan beliau mendapat pengiktirafan dengan dianugerahkan Tokoh Wanita UMNO Malaysia, Tokoh Ibu Mithali Peringkat Negeri Sembilan, Tokoh Wanita PERKIM dan Srikandi Negara serta darjah kebesaran seperti Ahli Mangku Negara dan Johan Setia Mahkota.

"Meskipun sudah lama bersara dari dunia politik, saya masih mengikut perkembangan parti dan ingin sekali mahu pemimpin hari ini, meletakkan kepentingan perjuangan kerana UMNO adalah asas Melayu.

"Pemimpin adalah harapan rakyat, seharusnya amanah digalas sebaik mungkin dan mereka perlu mengikuti kursus politik supaya tidak tersasar jauh dari tonggak perjuangan," katanya.

Kini, tokoh 'gelang kemerdekaan' yang berusia hampir 90 tahun ini tetap aktif menyumbangkan tenaga dan pemikiran dalam kecemerlangan anak bangsanya sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Sembilan dan Mubarak Negeri Sembilan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X