Isnin, 31 Ogos 2015 | 10:30am

Bersatu hati bina negara sejahtera

HUBUNGAN yang harmoni dalam kalangan rakyat boleh menjamin keselamatan negara.

PERPADUAN rakyat Malaysia adalah satu keistimewaan dan daya tarikan kepada pelabur asing. Kepentingan inilah menyebabkan kerajaan menitikberatkan soal perpaduan, kerana dengan bersatu hati kita dapat membina negara yang aman dan sejahtera.

Tambahan pula, konsep 1Malaysia yang berasaskan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' juga menerangkan bahawa hubungan harmoni dan kerjasama pelbagai kaum adalah kunci untuk menghadapi ancaman dan cabaran. Secara umum, prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai etnik bukan perkara asing.

Jadi, bagaimana kita menangani isu ini secara berhemah? Di banyak negara, persengketaan kaum lebih-lebih lagi berkenaan isu agama membawa peperangan berlarutan, sekali gus membantut pembangunan ekonomi, sosial dan politik. Negara kita sudah 58 tahun merdeka, namun dalam soal perpaduan masyarakat berbilang kaum, masih tidak diselesaikan sepenuhnya. Isu sensitif seperti hak, warna kulit, kepercayaan agama dan budaya sering dikotak-katikkan.

Sebagai contoh, dalam kejadian Pengetua sebuah sekolah menengah dan Penolong Pengarah sebuah agensi kerajaan yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur rasis iaitu pelajar Cina tidak diperlukan di negara ini dan boleh pulang ke China, di samping menyamakan gelang keagamaan dipakai pelajar India seperti rantai anjing, amat menyedihkan.

Sistem pendidikan faktor utama

Justeru, ia membuktikan isu keharmonian kaum masih menjadi persoalan besar dan penyelesaian belum ditemui lagi walaupun pelbagai usaha diambil.

Faktor pertama menyebabkan perkara seperti itu berlaku ialah sistem pendidikan berasingan. Rakyat Malaysia dibahagi kepada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang mempunyai bahasa ibunda masing-masing dan sistem persekolahan tersendiri. Ini sekali gus memisahkan pelajar. Sekolah aliran kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Justeru, majoriti kaum Melayu menuntut di sekolah Melayu. Situasi ini menyebabkan interaksi pelajar berbeza kaum sangat terhad dan menyukarkan persefahaman. Sejak kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu pada abad ke-19, selain bertujuan mencari kekayaan, mereka tidak lupa tanggungjawab sosial mendidik anak mereka agar mewarisi bahasa dan budaya etnik mereka.

Isu kaum dipolitikkan

Justeru, penubuhan sekolah vernakular Cina menjadi agenda penting mereka. Ibu bapa tidak yakin terhadap sekolah kebangsaan, menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan kerana berasa struktur pendidikan itu dapat menjamin kecemerlangan anak mereka hingga menjauhi hubungan antara etnik.

Faktor kedua ialah keadaan politik negara. Bahasa, budaya, agama, kerakyatan dan ekonomi sering dijadikan isu oleh orang politik bagi tujuan tertentu. Sebagai contoh, parti politik tertentu cuba mengambil peluang menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat, seterusnya menyebarkan propaganda perkauman.

Setiap kaum mempunyai budaya, kepercayaan dan bahasa berlainan. Oleh itu, setiap etnik cuba mengambil keputusan bagi mengurangkan interaksi antara satu sama lain. Impaknya jurang hubungan antara kaum semakin membesar.

Penjajah British menempatkan kaum tertentu pada sektor ekonomi berbeza. Kaum Melayu ditempatkan di sektor pertanian dan di luar bandar. Ia memerlukan sumber tenaga fizikal dan berteknologi rendah.

Kaum Cina pula ditempatkan di sektor perdagangan yang membabitkan teknologi tinggi, manakala kaum India terbabit dengan perladangan. Agihan ini mengakibatkan jurang pendapatan antara kaum semakin ketara dan tidak seimbang.

Kaum Melayu dan India berhadapan kemiskinan manakala kaum Cina mencari peluang perniagaan menyebabkan etnik ini berusaha mempertahan hak serta kesaksamaan. Proses mempertahan hak merosakkan hubungan kaum kerana masing-masing mahu menjuarai perjuangan mereka.

Ketidakharmonian hubungan kaum mengakibatkan negara berkeadaan tidak stabil, mendorong kepada pergaduhan atau pertelingkahan. Keadaan ini membimbangkan pelabur mengenai modal dikeluarkan serta tahap keselamatan perniagaan mereka.

Ketahanan sesebuah negara banyak bergantung kepada rakyatnya. Secara langsung, hubungan tegang antara rakyat akibat perselisihan sememangnya mampu menggugat keselamatan negara. Hubungan yang harmoni dalam kalangan rakyat secara tidak langsung mewujudkan sebuah tembok pertahanan kukuh dan menjamin keselamatan negara. Negara yang kacau bilau bukan saja terdedah kepada ancaman dalaman tetapi juga luar yang melihat inilah peluang untuk campur tangan sekali gus membuka jalan menguasai negara berkenaan.

Tanpa keamanan, negara berkenaan sukar melakukan sesuatu yang membanggakan mahupun menarik perhatian negara lain. Sebaliknya, jika perpaduan dan hubungan harmoni wujud antara rakyat, ia adalah simbol kejayaan peringkat global. Dengan ini, sesebuah negara itu bukan sahaja disegani negara lain malah akan menjadi model dan rujukan kepada negara lain.

Integrasi nasional

Sepanjang sejarah selepas kemerdekaan, isu mewujudkan hubungan harmoni antara kaum tiada titik noktah. Kerajaan mewujudkan pelbagai dasar ke arah pembentukan integrasi nasional. Antara dasar dan pelan tindakan khas kerajaan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971 - 1990, Dasar Pembangunan Negara (DPN) 1991 - 2000, Dasar Wawasan Negara juga Program 1Malaysia.

DEB adalah dasar diperkenalkan Tun Abdul Razak selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969. Dalam waktu yang membimbangkan ini, punca tercetusnya rusuhan itu dikesan dan langkah mengatasinya diambil. Penggubalan dasar ini bertujuan mencapai perpaduan negara dengan memperbetulkan ketidakseimbangan sosio ekonomi antara kaum dan wilayah.

Ia juga bagi mempertingkat pembabitan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan sebagai usaha membasmi perasaan tidak puas hati dalam masyarakat. Dasar Wawasan Negara atau dikenali Wawasan 2020 adalah usaha kerajaan mengembangkan ekonomi, sosial dan politik pada peringkat nasional dan antarabangsa serta menitikberatkan pembangunan menyeluruh meliputi aspek politik, ekonomi, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.

Terap nilai murni

Menjelang tahun 2020, Malaysia diharap mampu menjadi negara yang bersatu padu jika masyarakatnya mempunyai nilai moral dan etika utuh, penyayang, adil dan saksama, berkeyakinan serta mampu bersaing. Konsep 1Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 3 April 2009 memberi aspirasi memperbaiki hubungan kaum. Untuk mencapai kemajuan negara, sikap penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan utuh perlu diamalkan. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan lancar.

Persefahaman kaum juga dapat dipupuk secara berkesan menerusi pendidikan. Antara langkah dilakukan adalah dengan penubuhan Sekolah Wawasan, tempat terbaik memulakan proses integrasi kaum. Ia menyediakan ruang dan peluang untuk murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain.

Mereka berpeluang mengenali dan memahami satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain. Tegasnya, Sekolah Wawasan mampu memupuk persefahaman kaum, seterusnya mempercepat integrasi nasional.

Penyusunan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mewujudkan keharmonian rakyat dan negara. PLKN dapat memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja pelbagai kaum ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan bekerjasama menjalankan aktiviti, berinteraksi dan bergaul mesra. Dengan itu, mereka terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia. Persefahaman lebih erat memupuk rasa kekitaan. Selain kerajaan, masyarakat sendiri perlu turut memikul peranan ini. Media massa adalah saluran yang dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan efisien dan penting bagi memperbaiki hubungan kaum.

Kesimpulannya, perpaduan kaum adalah elemen penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat penting bagi negara bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik. Bak kata Usman Awang, perpaduan tidak beri erti kalau sekadar dalam lafaz kata-kata semata. Perpaduan tidak wujud hanya dengan disuruh-suruh dan diseru-seru. Perpaduan harus diwujudkan atas kepentingan rakyat dan bukan kepentingan satu pihak atau golongan tertentu.

Berita Harian X