Selasa, 1 September 2015 | 11:50am

Maybank IB kekal saranan 'beli' saham KNM Group

KUALA LUMPUR: Maybank IB Research mengekalkan saranan 'beli' saham KNM Group setelah syarikat itu mendapat kontrak kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tenaga boleh diperbaharui (RE) di Ladang Tanah Merah, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Firma penyelidikan itu berkata, KNM dijangka mencatatkan 20 peratus margin kasar daripada kerja-kerja EPCC RE, yang pada pendapatnya adalah baik.

"Kami menganggarkan sumbangan keuntungan bersih sebanyak RM10-RM15 juta setahun dalam tahun kewangan 2015-2017.

"Kami bagaimanapun, mengekalkan unjuran kami memandangkan kami menggabungkan kejayaan projek RE sebanyak RM350 juta bagi tahun kewangan 2015," katanya dalam nota penyelidikannya.

Kontrak EPCC RE bernilai RM268.38 juta itu diberikan Cypark Sdn Bhd kepada anak syarikat milik penuh KNM, KNM Process Systems Sdn Bhd, melalui SHK Consortium.

Mengikut Maybank IB, pendekatan KNM kini dengan menjalin pakatan berbanding penggabungan dan pengambilalihan pada masa lalu adalah wajar, dari perspektif kewangan dan operasi.

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan harga sasarannya bagi KNM Group, kekal pada RM1. - BERNAMA

17 dibaca
Berita Harian X