Rabu, 2 September 2015 | 2:56pm

2 remaja didapati salah bunuh, rogol terlepas tali gantung

MUAR: Dua remaja lelaki terlepas hukuman gantung sampai mati dan kini menunggu ihsan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi menentukan hukuman penjara.

Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi mendapati mereka bersalah merogol dan membunuh seorang remaja perempuan di sebuah kebun kelapa sawit, Kampung Parit Ju Darat, Tongkang Pechah, Batu Pahat pada 15 Disember 2010.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Zainal Azman berikutan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001 yang melarang tertuduh berusia bawah 18 tahun dijatuhi hukuman mati.

Dalam penghakimannya, Mahkamah Tinggi mendapati kedua-dua tertuduh yang kini berusia 19 dan 21 tahun bersalah atas pertuduhan merogol dan membunuh Siti Mazni Abdul Rahman, 14.

"Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, kedua-dua tertuduh didapati bersalah dan terpulang kepada ihsan Sultan Johor untuk menentukan tempoh hukuman penjara.

"Sementara tertuduh pertama yang kini berusia 21 tahun yang turut dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan bermula daripada tarikh tangkapan," katanya.

20 dibaca
Berita Harian X