Sabtu, 5 September 2015 | 12:04am
LANA sudah bersedia untuk berjauhan dengan keluarga di tanah air.

Korban kasih Lana Nodin


SEAWAL cinta mekar dan akad nikah terpateri lagi, Lana Nodin sudah bersedia untuk menerima hakikat dia perlu berkorban dalam segala aspek, termasuklah meninggalkan keluarga tercinta dan tanah air demi mengikut suaminya, Mohd Daud McKienzie.

Demi kasih dan cinta kepada suami, pelakon dengan nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin rela turutkan atas nama seorang isteri. Menjadi isteri kepada suami yang bergelar atlet sukan bola tampar yang harus menjalani latihan dan mengembara ke banyak negara, Lana harus akur dengan tuntutan berkenaan.

Sejak berkahwin tanggal 15 Mei lalu, Lana dan suaminya sudah terbang ke beberapa negara, termasuk berpuasa di Los Angeles dan New York, Amerika Syarikat (AS). Malah, ketika temu bual ini diadakan, mereka berada di Chicago pula.

Lana memberitahu, suaminya ada perlawanan bola tampar di kota terbesar di AS itu. Kata Lana lagi, Daud terpaksa mengikuti beberapa siri pertandingan bola tampar pantai yang dianjurkan bagi membolehkan suaminya layak mewakili AS. Hampir lima bulan berkahwin, Lana kini sedang membiasakan status isterinya itu.

"Dahulu hidup bujang bolehlah ikut apa kata saya tetapi sekarang saya sudah menjadi isteri orang dan tempat seorang isteri adalah di sisi suami. Jadi inilah yang saya lakukan. Pengorbanan ini saya yakin semua isteri pasti akan lakukan. Cukup saya katakan kami saling melengkapi dan menyokong kehidupan masing-masing.

LANA mahu merahsiakan dahulu soal cahaya mata.

"Saya perlu berada di sisinya dan inilah cara saya menunjukkan sokongan moral tak berbelah bahagi. Kalau saya tak berkesempatan menemaninya menjalani latihan bola tampar, saya akan sehabis baik memasak untuknya. Saya akan buat dia jadi gemuk. Kalau tak memasak, dia pula ambil giliran membawa saya menikmati makanan di luar.

"Seperti kita tahu ahli sukan sepertinya memang jelas akan mengotorkan baju yang dipakai. Jadi saya akan basuh baju. Sesekali dia pun manjakan saya dan layan saya bak puteri raja dengan membasuh baju dan membiarkan saya goyang kaki. Malah, kalau kami mengembara bersama, setiap rutin harian kami akan lakukan bersama atau ambil giliran," katanya.

Seperti pasangan lain, pasangan ini juga mendambakan cahaya mata.

"Soal anak, kami memilih untuk merahsiakan dahulu kalau ada rezeki ke arah itu. Memang tak akan beritahu lagi. Kalau ada rezeki menimang anak, pastinya kami menjadi insan paling gembira di dunia," katanya.

Ditanya bila dia akan kembali ke Malaysia, Lana hanya menurut dan mengikut jadual suaminya.

LANA sentiasa menyokong suaminya sebagai atlet bola tampar pantai.

"Mungkin tahun hadapan. Apapun saya serahkan kepada suami. Macam 12 November hadapan, filem Biasan arahan Sandosh Kesavan lakonan saya akan ditayangkan. Tapi saya belum pasti lagi sama ada akan pulang atau tak kerana semuanya bergantung pada jadual suami. Saya harap peminat dan rakan media akan menyokong filem ini sekalipun tanpa kehadiran saya di Malaysia," katanya.

Lana turut merakamkan ucapan video suaminya yang mempromosikan filem lakonannya dalam bahasa Melayu. "Saksikan filem Biasan lakonan isteri saya di pawagam 12 November hadapan," kata Daud dalam rakaman itu.

Jika ada yang mengikuti Instagram Daud di bawah nama @david_mckienzie, lelaki tinggi lampai itu ada memuat naik gambar berserta keterangan gambar yang menunjukkan betapa bertuahnya dia memiliki Lana.

"Wanita cantik ini sangat sabar sepanjang percutian kami. Dia menyokong saya setiap kali saya berlatih dan juga memasak untuk saya hampir setiap hari. Saya cukup bertuah untuk memiliki isteri yang sangat memahami. Terima kasih baby," kata Daud.

LANA terpaksa mengikuti suaminya yang terbabit dalam perlawanan bola tampar pantai.

INFO

    Lana Nodin

  • Lana dan suami berkawan rapat selepas berkenalan dalam satu acara berprestij di Singapura pada 26 Oktober tahun lalu.
  • Daud melamar Lana pada 3 Januari lalu tanpa cincin kerana tidak tahu saiz jari kekasihnya.
  • Daud berdarah kacukan Ireland, Filipina dan Inggeris mendapat restu ibu bapanya untuk memeluk Islam.
Berita Harian X