Sabtu, 5 September 2015 | 1:21pm
Lapangan Terbang Sibu.

Kabus tebal jejas operasi penerbangan di Sibu

SIBU: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Sibu, di sini, pagi tadi terjejas berikutan kabus tebal dengan beberapa penerbangan terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Bintulu atas faktor keselamatan.

Pengurus Lapangan Terbang Sibu, Zainuddin Abu Nasir, berkata dua penerbangan AirAsia, masing-masing dari Kuching dan Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Bintulu berikutan jarak penglihatan yang terhad.

"Bagaimanapun, kedua-dua pesawat dibenarkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Sibu sejurus keadaan mengizinkan dan selamat mendarat kira-kira jam 9.50 pagi tadi.

"Sebuah pesawat ATR72 milik MASWings dari Kota Kinabalu juga terpaksa berlegar di udara selama 30 minit sebelum melakukan pendaratan susulan kejadian kabus tebal itu," katanya.

Difahamkan, kabus tebal menyebabkan operasi penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Sibu turut mengalami kelewatan, begitu juga di beberapa lapangan terbang lain di Sarawak.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi Sarawak berkata keadaan itu disebabkan kabus tebal dan bukannya masalah jerebu seperti didakwa.

"Berlaku kabus tebal dari jam 8 hingga 9 pagi tadi dengan jarak penglihatan cuma 2,000 meter di lokasi kejadian. Keadaan beransur pulih menjelang jam 10 pagi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sibu dan beberapa bandar di wilayah tengah di negeri ini masih mencatatkan bacaan sederhana.

Berita Harian X