Sabtu, 5 September 2015 | 4:09pm

Kami sudah hampir setahun berkahwin - Keith Foo

KEITH Foo dan isterinya, Kim Raymond. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon Keith Foo menerusi aplikasi WhatsApp memberitahu yang beliau sudah berkahwin dengan Kim Raymond hampir setahun lalu.

Pengakuan itu sekali gus mengesahkan berita BH Online sebelum ini yang dipetik menerusi kenyataan isterinya di dalam majalah EH!.

Pelakon drama Ariana Rose yang bakal muncul dengan filem Langit Cinta arahan Osman Ali itu kini berada di Santorini, Greece.

"Sudah lama kami daftarkan perkahwinan ini. Tak rahsiakan pun. Cuma kami memilih untuk menjadikannya privasi. Saya sendiri tak suka campur adukkan soal kerja dan peribadi dalam satu. Majlis berlangsung di rumah sahaja," katanya ringkas.

Ditanya lanjut, Keith memilih untuk bertemu BH Online secara berdepan apabila pulang ke ibu kota kelak. Keith kini terikat dengan penggambaran program Hola Spain bersama Keith Foo sebanyak 13 episod bagi siaran RTM.

"Isteri pun ikut sama saya ke sini. Saya berada sebulan mengembara untuk rakaman program ini membabitkan tempat menarik di Sepanyol, Saint Tropez, Nice, Santorini, Paris dan London," katanya.

Diusik adakah kembara ini umpama ruang untuk mereka berbulan madu, Keith hanya tertawa manja seakan mengiyakan persoalan itu.

Terdahulu, Kim mendedahkan yang mereka sudah berkahwin tetapi tiada sebarang majlis besar-besaran diadakan. Kim dan Keith dijangka diraikan pada penghujung tahun ini di kampung halaman pelakon kacak berkenaan di Gemas, Negeri Sembilan.

Berita Harian X