Selasa, 8 September 2015 | 10:16am
PENJAGA gol skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat, Khairul Azhan dan Ramadhan Hamid (kanan) menjalani sesi latihan menentang Arab Saudi semalam. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Skuad Harimau Malaya perlu magis di Stadium Shah Alam malam ini

KUALA LUMPUR: Keajaiban besar saja mampu menagih semula sokongan peminat bola sepak kepada skuad Harimau Malaya apabila berdepan Arab Saudi pada saingan peringkat kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Ujian getir menanti jurulatih sementara Datuk Ong Kim Swee untuk menebus malu ekoran kekalahan rekod 10-0 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE), minggu lepas, tidak berulang lagi.

Arab Saudi, bekas juara Piala Asia sebanyak tiga kali, bukan calang-calang pasukan dan sudah pasti mencuri satu mata di laman sendiri bukan tugas yang mudah untuk memulihkan maruah bola sepak negara yang tercalar.

Dalam saingan Kumpulan A, Malaysia setakat ini hanya mengutip satu mata selepas seri 1-1 dengan Timor Leste sebelum dibelasah 6-0 oleh Palestin dan 10-0 oleh UAE.

Susulan kekalahan teruk kepada UAE, Dollah Salleh meletak jawatan sebagai jurulatih dan diganti oleh Kim Swee manakala Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan akan melepaskan jawatannya selepas tanggungjawabnya selesai.

Kim Swee, yang juga jurulatih skuad negara bawah 23 tahun, percaya skuad negara akan bangkit semula dengan semangat juang yang tinggi menentang pasukan gergasi Asia Barat itu.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 44 tahun itu hanya mampu melakukan perubahan terhad kepada pasukan selepas mengambil alih tugas itu tiga hari lepas.

Katanya, beliau perlu mempersiapkan kekuatan mental pemain dan memulihkan moral pemain supaya mereka dapat menunjukkan keupayaan sebenar apabila berdepan dengan Arab Saudi.

"Tak guna kita fikir tentang keputusan perlawanan lepas tetapi memberi fokus kepada persediaan diri sendiri," katanya.

Bagi perlawanan malam ini, Kim Swee memanggil lima pemain baharu iaitu Ramadhan Hamid, Adam Nor Azlin daripada skuad Harimau Muda B, Mohd Fadhli Shas (Johor Darul Ta'zim), Ahmad Fakri Saarani (Kelantan) dan pemain Perak, Nurridzuan Abu Hassan.

Selain itu, beliau menggugurkan enam pemain iaitu penjaga gol Zamir Selamat dan pemain pertahanan Muhammad Zubir Mohd Azmi, yang mengalami kecederaan serta Mohd Nor Farhan Muhammad, Ahmad Syamim Yahya, Syahrul Azwari Ibrahim dan S Kumaahran.

Dalam pada itu, pengurus merangkap jurulatih Arab Saudi, Bert Van Marwijk menuntut anak didiknya menampilkan persembahan terbaik dengan meraih kemenangan 'besar'.

Arab Saudi dan UAE masing-masing mengumpul enam mata setakat ini dengan UAE mengungguli carta kumpulan dengan kelebihan jaringan.

Sebelum ini, Arab Saudi mengalahkan Palestin 3-2 dan membelasah Timor Leste 7-0.

"Kami menganggap perlawanan ini sangat penting dan sebab itu datang ke sini sebaik sahaja perlawanan menentang Timor Leste, Jumaat lepas untuk melakukan persiapan yang sebaik mungkin.

"Kami perlu berwaspada kerana bukan mudah menentang pasukan yang kalah teruk sebelum ini dan jurulatihnya letak jawatan," kata bekas pengurus Belanda itu yang membawa skuad negaranya ke final Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Pada final, Belanda kalah 1-0 kepada Sepanyol pada masa tambahan.

Malaysia kali terakhir mengalahkan Arab Saudi ialah pada 1981 dengan keputusan 4-1 dan selepas itu kalah lapan kali dan seri dua kali.

Selepas Arab Saudi, Malaysia akan berdepan dalam perlawanan timbal balik menentang Timor Leste pada 13 Oktober ini, Palestin (12 November), UAE (17 November) dan Arab Saudi pada 24 Mac, tahun depan.- BERNAMA

Berita Harian X