Selasa, 8 September 2015 | 1:54pm

Bola sepak: Kim Swee gesa peminat tidak ganggu aksi Malaysia malam ini

JURULATIH sementara Malaysia, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Goh Thean Howe
JURULATIH sementara Malaysia, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Datuk Ong Kim Swee meminta penyokong bola sepak negara ini tidak mengganggu perlawanan antara skuad Harimau Malaya dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam malam ini, susulan kekalahan mengejut di Abu Dhabi, minggu lalu.

Dalam perlawanan pada Khamis lalu itu, Malaysia dibelasah 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

"Peminat mempunyai hak bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka. Namun malam ini, saya harap mereka akan memberi sokongan kepada pasukan Malaysia," kata bekas pengendali pasukan Bawah 23 (B-23) itu yang dilantik sebagai jurulatih sementara Malaysia kepada AFP.

Sekurang-kurangnya 600 anggota polis bakal ditempatkan di kawasan Stadium Shah Alam malam ini, selepas kumpulan Ultras Malaya dilapor bakal membuat bantahan pada perlawanan itu, menurut laporan media tempatan.

"Pada saya, kita boleh memberi pandangan bagi menunjukkan rasa tidak gembira dengan pasukan tetapi ia tidak bolehlah sampai membakar suar. Ia tidak baik untuk imej Malaysia. Mereka tidak wajar mengganggu perlawanan," katanya.

Kim Swee menggantikan Dollah Salleh yang meletak jawatan pada Jumaat, dua hari selepas mengemudi Malaysia menjadi mangsa belasahan di Abu Dhabi - pencapaian paling buruk dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Kempen kelayakan pasukan Malaysia terjerumus dalam krisis sebelum ini, apabila mereka terikat 1-1 dengan pasukan kerdil, Timor Leste dan tewas 0-6 kepada Palestin pada Jun lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pula semalam, mengumumkan kesediaan meletak jawatan secara berperingkat susulan kekalahan besar itu.

Kumpulan Ultras Malaya sebelum ini menggesa penyokong untuk berhimpun di Stadium Shah Alam malam ini bagi menyatakan bantahan dan rasa marah terhadap persembahan pasukan bola sepak kebangsaan.

Seorang penyokong, Zulhalmi Nahar menulis pada Facebook Ultras Malaya: "Mari lakukan seperti ketika Malaysia bertemu Filipina tahun lalu'.

Ketika perlawanan pada Mac tahun itu, penyokong membakar bunga api, suar dan bom asap selepas 30 minit permainan pada separuh masa pertama, sebagai tanda protes kepada kepimpinan FAM

Kejadian itu menyebabkan FAM didenda sebanyak $10,000 oleh Persekutuan Bola Sepak Asia.

Mengulas lanjut, Kim Swee melahirkan keyakinan anak buahnya mampu bersaing dengan pasukan handal Asia itu.

"Saya berharap kita akan dapat keputusan positif," katanya.

Selepas tiga perlawanan kelayakan dan kini memasuki pusingan kedua, Malaysia menduduki tangga tercorot dalam kumpulan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X