Selasa, 8 September 2015 | 2:22pm

Kegagalan perkahwinan pertama tak bererti saya tak cukup baik - Raja Farah

RAJA Farah Raja Aziz bersama suaminya, Iskandar Ismail. - Foto ihsan Eddie Photovideo (www,eddie-photovideo.com, Instagram @eddiephotovideo)
RAJA Farah Raja Aziz bersama suaminya, Iskandar Ismail. - Foto ihsan Eddie Photovideo (www,eddie-photovideo.com, Instagram @eddiephotovideo)

KUALA LUMPUR: Percintaan dan perkahwinan yang terjalin antara Raja Farah dan suaminya, Iskandar Ismail dilihat begitu pantas terjadi. Di saat kisah perceraiannya Mei lalu menerusi perkahwinan pertama masih belum reda, pelakon dan pengusaha perniagaan bakeri bernama penuh Raja Farah Raja Aziz, 27, itu tidak mampu menolak kehendak takdir bahawa jodohnya datang lagi.

Bertemu dua hari sebelum tiba Ramadan di sebuah restoran makanan Arab di ibu kota, ia memutik cinta yang tak diduga antara Raja Farah dengan lelaki yang menceburi perniagaan perundingan Teknologi Maklumat berusia 33 tahun itu. Ketika itu Raja Farah ditemani teman pelakon, Falisha Crossley manakala Iskandar pula bersama temannya.

Senyuman manis yang dilemparkan Raja Farah secara rawak kepada yang memandangnya di restoran berkenaan turut memberi tempias ingin tahu terhadap Iskandar. Saling bertukar nombor telefon, Iskandar hanya memberanikan diri menghantarkan mesej di aplikasi WhatsApp pada awal Ramadan lalu.

Siapa sangka dua bulan berkenalan, jodoh itu panjang hingga ke jenjang pelamin. Kedua-duanya sah bergelar menjadi suami isteri pada 6 September lalu jam 11.50 pagi. Dengan sekali lafaz, kedua-duanya termaktub dalam perhubungan halal di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong. Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Raja Farah, Raja Aziz Raja Ngah dengan mas kahwin berupa tiga dinar emas

"Kegagalan perkahwinan pertama tak bererti saya tak cukup baik, sekali gus tak berhak mengecapi kebahagiaan baharu dan mendatang. Saya berusaha menjadi lebih baik. Insya-Allah. Ini sudah jodoh. Cepat atau lambat, semua sudah tertulis. Saya terima suratan ini dengan hati terbuka. Banyak kualiti diri yang ada pada suami buat saya yakin untuk mendirikan rumah tangga sekali gus membimbing diri ini jadi isteri baik dan solehah.

"Dia juga jenis yang kuat bekerja dan buat saya yakin menerimanya. Saya rasa selamat di sisinya. Dia tebal dengan sikap melindungi. Sikap putus asa tak pernah ada dalam kamus hidupnya. Tak kira apa skeptikal orang yang mungkin wujud, dia akan menyokong saya dari belakang. Berada dalam dunia seni dan mencari orang yang benar-benar memahami sebenarnya sukar. Tetapi kesukaran itu tidak ada padanya.

"Pendek kata, dia lulus setiap ujian yang diberikan. Sikapnya juga sangat penyayang cuma sisi romantik setakat ini belum saya lihat. Saya yakin dia boleh bahagiakan saya. Insya-Allah," kata Raja Farah kepada Hip.

Ditanya mengenai kenapa terlalu berahsia mengenai identiti suami sebelum ini, pelakon yang mula membintangi filem Salon sekitar 2005 turut menegaskan tiada alasan tersendiri kenapa mereka berbuat begitu. Cuma cara itu dilihat Raja Farah dan suaminya cukup baik bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang tak diingini menjelang hari bahagia mereka.

"Tak ada apa pun sebenarnya kenapa kami berahsia identitinya. Ini perkahwinan pertamanya dan kedua bagi saya. Kami cuma harapkan semua yang dirancang jadi lancar dan tak ada gangguan yang akan membantutkan itu atau ini. Nak hebah lebih pun ketika itu kami belum berkahwin. Jadi apabila selesai yang patut termasuk akad nikah ini. Memang tak ada niat lain pun," kata Raja Farah yang anggun dengan persalinan putih rekaan Ezuwan Ismail dan disolek Saidatulnisa.

Sementara itu, Iskandar yang ditemui pula tidak melihat perkahwinannya dengan artis menjadi satu masalah besar. Mak cik Iskandar sendiri iaitu pengacara Maria Tunku Sabri turut menjadi rujukan terbaiknya saat berniat mengenali serta memperisterikan Raja Farah. Keluarga juga turut merestui siapa pun pilihannya kerana usianya kini juga dilihat sudah bersesuaian untuk menamatkan zaman bujang.

"Saya memang banyak minta pandangan mengenainya daripada pelbagai sudut berkaitan. Dia (Maria Tunku Sabri), banyak menyuruh saya bersabar dan kena faham bidang tugas orang seni ini. Insya-Allah, saya sudah mula faham serba serbi selok belok orang seni seperti isteri saya ini. Malah selepas ini pun saya tidak akan menghalang kalau dia nak teruskan hajat berada di arena seni.

"Cuma saya pasti dengan statusnya kini atas kapasiti bergelar isteri orang, dia akan tahu apa yang patut dan tidak. Pastinya kami akan saling hormat menghormati semua itu," katanya.

Bagaimanapun, Iskandar mengakui terbit rasa kecil diri untuk memulakan langkah mengenali Raja Farah.

"Ketika mula mengenalinya di restoran makanan Arab itu, kawan banyak memberi dorongan untuk saya memulakan langkah serius seterusnya. Ketika itu dalam hati terbit perasaan, eh! dia bukan orang sembarangan...Raja Farah kot. Reaksi saya banyaknya lebih kepada perkara positif. Hairan ke dia dengan saya ini yang hanyalah seperti golongan marhain.

"Bermula daripada situ, saya mula membuat penyelidikan di internet mengenainya termasuk menonton filem lakonannya di YouTube. Tetapi selepas mengenalinya dengan lebih akrab, persepsi saya sebelum ini berubah serta merta kerana dia sangat merendah diri. Malah ajakan saya untuk dia menyertai majlis amal membabitkan anak yatim diterimanya tanpa ragu-ragu.

"Mengenalinya dia punya daya usaha yang kuat terutama dalam perniagaan. Bahkan perniagaan bakeri yang diceburinya juga pernah dilakukan oleh ibu saya sendiri. Jadi secara tak langsung, memang saya boleh kaitkan persamaan itu dengan lebih jelas," katanya.

Pada majlis pernikahan, Iskandar membawa lima dulang hantaran, manakala pengantin perempuan membalasnya dengan tujuh dulang hantaran.

Kedua-duanya memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran dan pemberian mas kahwin berupa dinar emas yang menggantikan jumlah wang tunai itu juga atas permintaan Raja Farah sendiri.

Majlis turut mendapat tajaan Rita Collection sebagai perancang perkahwinan, EddiePhotoVideo sebagai jurugambar dan juruvideo rasmi, LeaHenna Artist dan Ukiran Buah Pulut Kuning.

Mengenai bulan madu, baik Raja Farah dan Iskandar belum memutuskan destinasi percutian mereka. Manakala soal anak pula, kedua-duanya menyerahkannya kepada Tuhan tetapi tidak menolak jika ditakdirkan memperoleh cahaya mata secepat mungkin. Majlis pernikahan berlangsung cukup ringkas dihadiri keluarga terdekat dan sanak saudara kedua belah pihak. Falisha Crossley antara teman artis yang hadir.

Raja Farah sebelum ini pernah berkahwin dengan Megat Bashirun Qhuyum Zakaria pada tahun 2010, namun jodoh mereka berakhir pada 25 Mei lalu. Pasangan ini mengikat tali pertunangan 9 Ogos lalu di kediaman keluarga Raja Farah di Bukit Jelutong. Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan di sebuah hotel di Ampang pada 13 September ini.

Berita Harian X