Khamis, 10 September 2015 | 4:13pm

Fiesta Muslimah BH 2015 kembali lagi bulan depan


LOGO acara Fiesta Muslimah BH 2015

KUALA LUMPUR: Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015) anjuran BH kembali lagi menghangatkan industri fesyen Muslimah yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), di sini pada 24 dan 25 Oktober depan.

Penganjuran kali kedua ini bertujuan menyemarakkan gelombang industri fesyen berkonsepkan Islam, selain membuka peluang usahawan meluaskan jaringan perniagaan menerusi 100 gerai jualan pelbagai produk yang disediakan.

Pengerusi FMBH 2015, Jami'ah Shukri, berkata penganjuran kali ini adalah kesinambungan kepada program tahun lalu selepas mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung.

Katanya, ia tepat pada masanya memandangkan wanita berhijab semakin menjadi fenomena dan ikutan masyarakat ketika ini.

"Berbanding pada julung kali diadakan di Zebra Square di ibu negara pada 23 November tahun lalu hanya menawarkan 25 gerai, kali ini ia dijadualkan berlangsung pada skala lebih besar dan meriah," katanya di sini hari ini.

Jami'ah berkata, FMBH2015 tidak hanya menumpukan jualan produk Muslimah, juga menggalakkan masyarakat terutama wanita untuk menonjolkan kelebihan diri dan mendekatkan ikon usahawan berjaya serta berkongsi cita rasa fesyen.

Justeru, katanya, pengisian kali ini lebih padat dengan konsep berbentuk interaktif termasuk bazar jualan pelbagai produk fesyen Muslimah dan tutorial pemakaian tudung.

Selain persembahan nyanyian dan pertunjukan fesyen Muslimah, FMBH 2015 mengekalkan segmen bual bicara bersama pakar motivasi, Prof Dr Muhaya Mohamad yang membincangkan topik Kesihatan, Kecantikan dan Fesyen.

Penganjuran itu turut disertai beberapa selebriti tempatan yang akan membicarakan mengenai topik Refleksi Muslimah - Cabaran Fesyen Muslimah Dalam Dunia Digital.

Program dimeriahkan lagi dengan persembahan artis daripada Ayda Jebat, Adira, Caliph Buskers, Hafiz Hamidun, Asfan dan ramai lagi, selain penampilan Neelofa dengan jenama tudungnya.

FMBH 2015 dibuka percuma kepada pengunjung bermula pada Sabtu, jam 10 pagi hingga 9 malam, manakala jam 10 pagi hingga jam 8 malam pada Ahad.

Orang ramai yang berminat boleh menempah gerai jualan dengan bayaran RM3,000 untuk dua hari dengan keluasan gerai ialah tiga meter persegi (10'x10)', sudah mula dibuka. Tarikh tutup tempahan gerai jualan pada 10 Oktober.

Untuk maklumat lanjut tempahan gerai jualan, boleh menghubungi, Hairi (019-3844490) atau Intan (011-16687038).

Berita Harian X