Sabtu, 12 September 2015 | 10:53pm

Pencapaian atlet negara di CYG luar jangkaan - MSN

KUALA LUMPUR: Pencapaian atlet pelapis negara pada Sukan Belia Komanwel (CYG) Kelima di Apia, Samoa menjadi penanda aras kepada program pembangunan dan persediaan yang dilaksanakan Majlis Sukan Negara (MSN).

Malah Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, kejayaan yang dilakukan atlet-atlet remaja negara di Samoa itu adalah di luar jangkaan badan induk itu.

"Kejayaan mereka di luar jangkaan dan memberangsangkan. Kita tidak menjangka mereka memenangi 11 pingat emas, sedangkan sasaran awal kita hanya lima pingat emas.

"Paling cemerlang ialah skuad skuasy yang menyapu bersih kelima-lima acara dipertandingkan.

"Sasaran awal kita hanya dua pingat emas menerusi skuasy. Bagi acara renang pula, kita tidak meletakkan sebarang sasaran pingat dan mereka berjaya meraih dua pingat emas. Ini satu peyunjuk yang baik untuk pembangunan sukan," kata Jefri.

Pada temasya berkenaan, kontinjen negara meraih 11 pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Bagi acara angkat berat, Jeffri berkata program persediaan bagi menghadapi Sukan Olimpik Belia 2018 di Buenos Aires, Argentina yang dimulakan sejak tahun lepas sudah membuahkan hasil.

"Kita (MSN) menghantar mereka menyertai Sukan Belia Komanwel ini sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Belia pada 2018. Kita sasarkan hanya satu pingat emas dan mereka membawa pulang tiga, itu pencapaian yang baik," katanya.

Beliau, bagaimanapun berkata pencapaian keseluruhan kali ini tidak boleh dibandingkan dengan empat edisi temasya itu yang disertai Malaysia sebelum ini.

"Kita tidak boleh membandingkan pencapaian dengan temasya-temasya sebelum ini kerana acara sukan yang dipertandingkan berbeza dan jumlah negara peserta juga tidak sama," katanya.

Pada edisi sebelum ini di Isle of Man, United Kingdom pada 2011, kontinjen negara meraih empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia ialah memenangi enam pingat emas, sembilan perak dan tiga gangsa pada temasya yang berlangsung di Bendigo, Australia pada 2004.

Kontinjen negara sebanyak 30 atlet dan 15 pegawai, dijadual tiba di tanah air esok. - Bernama

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X