Ahad, 13 September 2015 | 12:00am
LADIN Nuawi. - Foto Norizuan Shamsuddin
ROSLI K Matari, BorakBuku Rahimidin Zahari 'Sekepal Tanah dan buku-buku lain di Mirama Cafe Wisma Mirama. - Foto Saifullizan Tamadi
WAN Omar Wan Ahmad atau Sutung Umar RS. - Foto Maya Sarina Mahat
PERSEMBAHAN puisi oleh Nassury Ibrahim pada Malam Baca Puisi ITBM - PENA - DBP bertempat di Rumah Pena. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
MAZLAN Ismail. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
RAHIMIDIN Zahari pada wawancara Sofa Putih ITBM di Pesta Buku Antarabangsa, PWTC. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Penulis Kelantan gedebe


ANTARA patung-patung yang menggambarkan sesuatu watak dalam persembahan dalam wayang kulit. - Foto Amir Irsyad Omar

SEMASA kanak-kanak atau usia remaja, kita sering mendendangkan pantun berlagu Cak Kekok Kaki Aye, Pok Amai-Amai.

Demikianlah menjadi kelaziman budaya pada masa dulu seperti pantun 'Itik Tok Teh itik Tok Tanjung/buah lone buah tepoyak/kak putih pegang buyong/buak ubak adik teghiak', manakala 'Buah sekiat atah pitu/buah khemo dale boko/mu siak kato gitu/napa lepeng atah muko' dilagukan sebab berkelahi.

Lagu pantun Kelantan 'Kenek-kenek la ude/lembu patoh la tandok/Cek Mek keno la gode/Che Awe keno la tumbok' pula dijadikan lagu nyanyian Allahyarham P Ramlee dan Saloma yang segar sampai sekarang

Semasa saya di Darjah 1 Sekolah Melayu Pasir Puteh, cikgu mengajarkan lagu 'O itik marilah kita bermain sama/tunjukkan daku berenang macam mana/O itik marilah kita bermain sama/Jika tidak aku kan lemas dan tenggelam'.

Allahyarham Seman Wau Bulan pula dengan lagu dikir barat Wau Bulan dan Awang Ikan Duyung (Ikan Duyung), manakala Pak Leh Tapang, Dollah Kulat Male serta suara merdu Tok Joro Dikir dan Tukang Karut hari ini. Dikir Barat itu pun adalah tradisi daripada proses pengkaryaan spontan kemahiran berpantun, genre puisi klasik Melayu. Malahan masih ada aneka jenis puisi di Kelantan jika mahu dikutip seperti lagu rakyat, nyanyian kanak-kanak, pantun remaja, simpulan bahasa dan ungkapan pelbagai cara.

Bentuk puisi itu membawa unsur pendidikan yang sangat halus. Puisi daripada tradisi lisan itu berkembang satu generasi ke satu generasi. Semuanya menjadi antara nostalgia laluan hidup kita masa lampau.. Agaknya pengaruh tradisi lisan dan nostalgia silam itulah melilit jiwa penyair, sasterawan dan penulis Kelantan, lalu memindah serta mengindahkan ilham ke tradisi tulisan dalam bentuk puisi moden.


SM Zakir. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Gedebe sastera

Jiwa yang sudah terpupuk itu membina suatu proses pengkaryaan yang subur dalam pelbagai genre kreatif. Kelantan melahirkan ramai sekali 'awang gedebe' dalam persuratan dan kesusasteraan, sekali gus menjadikannya negeri 'gedebe sastera!'

Gedebe di sini saya maksudkan sebagai 'hanlan' atau 'andalan', iaitu istiqamah dalam perjuangan yang diyakini, menganjurkan kebaikan, berbakti dan berbudi. Gedebe tidak seharusnya dilihat dalam konteks negatif, tetapi positif, iaitu bermaksud orang hebat.

Selepas pertengahan abad ke-20, perkembangan sastera Malaysia sangat cemerlang. Nama penulis kreatif Kelantan ikut terkenal merentasi sempadan kenegerian. Mereka itulah gedebe sastera. Sasterawan Negara (SN), Allahyarham S Othman Kelantan penerima Anugerah Sasterawan Negara (ASN) ke-9 adalah seorang yang gedebe.

Beliau begitu 'hanlan', istiqamah menulis, mencipta dan memajukan kesusasteraan kebangsaan Malaysia. Jasanya sangat besar sekali. Sasterawan, penyair dan penulis lain pun, ada yang cukup prolifik dan berbakti. Semuanya mendukung semangat gedebe. Dalam dunia kepenyairan atau penulisan, semangat gedebe mereka sudah lama tertanam dengan jiwa kreatif dan inovatif. Mereka berperanan besar memajukan persuratan.

Apakah kita semua kenal atau menjadi penatap karya Mohd Affandi Hassan, Norhisham Mustaffa, Sutung Umar RS, Abdullah Tahir, Wan Ahmad @ Wan Adnan Wan Daud (Wadi Leta SA), Wan A Rafar, Marhan, Abd. Aziz HM, Moechtar Awang, Rosli K Matari, Darma Mohammad, Abham TR, Abdul Hadi Yusoff, Wan Asyeah Wan Nawang, Salmiah Ismail, Abdul Hadi Muhamad, Napie Mat, Imlan Adabi, Nassury Ibrahim, M Daud Molly, Sazalee Yaacob, Zanariah Wan Abd Rahman, Azmi Yusuf, Leo AWS, Ezani Daud, Rudy Mahmood, Mustaffa Jusoh, Ladin Nuawi, Haron AH, Adi Nasry Haryani, Satinah Ziran Musa, Khairani Abdul Rahman dan Wan Jaafar Ahmad (sekadar menyebut beberapa nama).

Apakah kita tahu atau ada sesiapa daripada generasi muda yang berbakat besar seperti SM Zakir dan Allahyarham Rahimidin Zahari atau tahukah kita nama seperti Abdul Razak Rezeki Othman, Mohd Zizie Setapa, M Ariff dan Zanazanzaly (Norzana Razaly) yang gedebe sastera belaka.

Ada puluhan lagi nama penulis dan penyair dari Kelantan. Beberapa nama penulis bukan Melayu seperti Lim Swee Tin, Chu E Liang dan Eh Ding Eh Chik banyak menabur jasa.

Di negara ini, sebenarnya kita boleh membuat bandingan bagaimana suasana pengkaryaan berlaku. Ada penulis yang masih segar-bugar dan ada yang mengundurkan diri, 'kendur upaya' serta masih ada nafsu besar tetapi tenaga pula kurang disebabkan faktor usia atau kesihatan yang tidak mengizinkan.

Di Kelantan, siapakah pula yang sedang menjejaki langkah S Othman Kelantan atau mengikut jejak langkah kaedah Mohd Affandi, Wadi Leta SA, Sutung Umar RS dan Aziz HM? Siapakah pula penulis muda yang menggarap teladan kekuatan upaya SM Zakir atau Rahimidin dalam pengkaryaan?

Seni warisan, pengaruhi karya

Penulis Kelantan tidak kurang mendukungi kearifan setempat. Mereka tidak kalah jika dibandingkan dengan kewibawaan pengkaryaan penulis atau penyair di negeri lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kita tahu kemajuan kesusasteraan Malaysia bertambah rancak setelah kemerdekaan. Maka ombak sastera yang sama itu sangat deras deburnya menerjah pantai pengkaryaan di Kelantan.

Jiwa seni mereka mampu melihat, mendengar dan merasa. Kelantan ada segala macam warisan kesenian, seni persembahan, wayang kulit, mak yong, dikir barat atau permainan tradisional, wau, gasing, rebana, kertuk, main coh serta gajah patah. Agaknya warisan dan pengaruh seni budaya itulah menambahkan kesuburan pepohon kreatif sastera di Kelantan.

Genre puisi memang kuat berkembang di Kelantan. Ada yang menyebut bahawa negeri Cik Siti Wan Kembang ialah negeri medan penyair, lubuk penyair dan lahan penyair kerana mempunyai jumlah penyair yang paling ramai di Malaysia; sedia mengatur langkah di gelanggang, menyelam lubuk dalam dan mengusahakan perkebunan sastera.

Sesebuah karya itu baik berbentuk novel, cerpen atau puisi mewajahkan lokasi, watak, peristiwa dan kejadian. Kita dapat menatap bagaimana sesebuah karya itu menyelitkan unsur agama dan kepercayaan. Seseorang penyair atau penulis yang peka dengan persekitaran budaya tidak sekali-kali akan memisahkan aspek jati diri, nilai keperibadian bangsa, identiti etnik dan suku bangsa yang dijadikan landasan pengkaryaan.

Peminat sastera dengan selesa dapat melihat gambaran tentang budaya manusia Kelantan dalam pelbagai aspek seni, nilai sosial, komunikasi dan interaksi, fahaman serta pegangan kepada sesuatu ideologi melalui karya. Sesebuah karya itu memberi makna dan manfaat apabila diwarnai citra tersebut. Pelbagai pihak dapat menggunakannya sebagai sumber rujukan tentang tradisi budaya dan ranah kehidupan bangsa, etnik dan suku bangsa yang ditonjolkan.

Ulama jadi tokoh sastera

Salah satu citra peradaban bangsa ialah bidang persuratan dan tradisi keilmuan. Keunikan Kelantan dan wilayah peradaban Melayu Timur Laut adalah disebabkan melahirkan tokoh besar ulama, budayawan, pemikir, cendekiawan, sasterawan, seniman, penulis, penyair, pentadbir dan penggerak budaya sejak zaman-berzaman.

Satu keunikan lagi di Kelantan adalah apabila ulama dan tokoh agama juga ialah tokoh bahasa serta sastera. Bahasa Melayu menjadi wahana pengajaran dan kepengarangan mereka. Keutuhan tradisi keilmuan dan gerakan budaya secara meluas sehingga awal abad ke-20 terbukti apabila wilayah peradaban Melayu Timur Laut melahirkan ulama, pemikir dan tokoh besar persuratan Melayu.

Karya persuratan Melayu, lazimnya dikategorikan oleh pengkaji kepada tiga bahagian utama, iaitu sastera kitab, sastera akhbar/majalah dan sastera cereka/fiksi. Ketiga-tiganya dapat kita lihat di Kelantan, Terengganu dan Pattani. Karya sastera kitab cukup banyak dan sangat dominan dalam membicarakan ajaran agama merangkumi teologi, hukum ibadat, etika kerohanian, falsafah, sejarah, perubatan dan persoalan agama berkaitan dengan ilmu dan budaya tinggi. Kini sastera kitab pun perlu dilihat kembali kerana kitab sudah tidak banyak ditulis atau diterjemahkan lagi, melainkan mungkin kerja ulang cetak 'kitab kuning.'

Karya sastera akhbar/majalah ialah pelbagai karya yang tersiar dalam akhbar dan majalah bersifat rencana yang menyentuh persoalan agama, siasah, kemasyarakatan, ekonomi dan pendidikan orang Melayu, manakala sastera cereka atau fiksi ialah sastera kreatif dalam genre novel, cerpen dan puisi.

Kini di Kelantan, sastera cereka/fiksi itu sangat rancak berkembang, walaupun suatu waktu lalu, sastera akhbar/majalah sangat luar biasa kemajuannya khususnya peranan Pustaka Dian di bawah pimpinan Allahyarham Yusof Zaki Yaacob.

Majalah Pengasuh bertahan

Penerbitan kitab, buku dan majalah menjadi senario yang begitu ketara pada awal abad ke-20 lalu. Usaha Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerbitkan majalah bulanan Pengasuh bertahan sampai hari ini. Rencana, berita dan seruan keagamaan serta pembaharuan pemikiran masyarakat cukup luas dikupas dan mendalam mempengaruhi masyarakat.

Majalah Pengasuh menjadi sumber bacaan di pondok, tatapan ulama dan cendekiawan. Dahulunya majalah seperti Dian, Santajiwa dan akhbar Mingguan Kota Bharu diterbitkan dengan menerima sambutan yang menggalakkan. Kerja percetakan dan penerbitan buku serta kitab dengan pelbagai judul pengajian sungguh rancak, menunjukkan persaingan sihat sehebat kerja percetakan dan penerbitan di Pulau Pinang dan Singapura.

Peranan persuratan Melayu dalam pembinaan peradaban cukup besar. Taraf bahasa Melayu yang sudah diperkaya dengan berbagai istilah ilmu Islam meningkat menjadi bahasa moden, berupaya mengungkapkan persoalan akliah dan faham ilmu menjurus kepada budaya intelektualisme.

Peranan ulama dan agamawan dalam bidang agama serta budaya tidaklah terpisah. Agama dan budaya saling lengkap-melengkapi, manakala segala yang bertentangan dengan ajaran Islam berbentuk khurafat dan syirik ditinggalkan.

Budaya intelektualisme hendaklah diperkembangkan. Bidang kepenyairan antara lajur mengungkapkan pelbagai tema tentang persoalan aqidah, khilafah, tazkiah dan nilai universal Islam. Beberapa penyair Kelantan sudah masuk ke lajur ini.

Peranan persatuan penulis

Penulis dari kalangan generasi lama dan baharu masih bergerak aktif. Pertubuhan sukarela atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang persuratan, penulisan dan pemikiran peradaban antaranya Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang paling awal ditubuhkan, iaitu pada tahun 1966; Persatuan Penulis dan Seniman Kelantan (PUSPA); Persatuan Penulis Tumpat (PESISIR); Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia (PERADABAN) yang ditubuhkan pada tahun 2011 yang lalu.

Badan ini sentiasa menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan agensi atau pertubuhan yang berkaitan dengan pengembangan bahasa, sastera serta budaya termasuk Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Berlandaskan realiti ini, saya ingin mencadangkan gerakan kesedaran ilmu didorong sebagai gerakan baharu persuratan Melayu Kelantan dengan menekankan program cintai ilmu, kepustakaan (termasuk penerbitan dan budaya baca) serta proses pengkaryaan sastera kreatif dan sastera kitab dengan lebih bertenaga.

Perhimpunan Sasterawan dan Penulis Wilayah Timur juga wajar diadakan dengan penyertaan sasterawan, penyair, pemikir dan penulis dalam semua bidang yang membabitkan sarjana, pengkaji serta penggerak peradaban Melayu bagi membincangkan isu semasa tentang peradaban Melayu dan melihat kembali strategi pembangunannya.

Kongres Peradaban Melayu Kelantan juga perlu dianjurkan dengan membina rangkaian sinergi antara semua pihak. Cakupannya meliputi falsafah, pemikiran, kebudayaan, bahasa, persuratan, pendidikan, antropologi, arkeologi, sosiologi, sejarah, kerajaan dan politik, sains dan teknologi, pertanian, perubatan, pelayaran, ekonomi, perniagaan, perundangan, flora dan fauna yang menjadi bukti kesinambungan sejarah dan peradaban Melayu.

Sanjungi pembaharuan Tok Kenali

Akhirnya, bukankah kita semua sangat menyanjungi gerakan pembaharuan yang dilakukan Almarhum Tok Kenali atau nama sebenarnya, Mohd Yusoff Ahmad al-Kenali (1870-1933), iaitu ulama besar, pendakwah, pendidik, pemikir, penulis dan pendorong kesatuan fikrah umat Melayu-Islam bukan saja di Kelantan, bahkan dunia Melayu.

Wawasan, gagasan dan pemikiran beliau boleh saja ditelusuri melalui majalah Pengasuh. Tok Kenali pernah mengungkapkan harapan beliau dengan lontaran kata-katanya yang disusun semula secara puitis oleh Allahyarham Abdul Rahman Al-Ahmady:

Tiada hari bagi kita

jika kita tidak bergerak pada hari ini

cubalah anakku tilik cerah matahari

kelebihan orang yang telah dapat kemenangan

kerana amalan yang kebajikan

dan pandangkan kelam orang yang jatuh

kerana amalan kejahatan

di situlah pengasuh bertimpus membedak

dengan bedak harapan

mudah-mudahan subur sekalian

dengan darah dan daging

yang boleh mengkhidmatkan tanah air

dan menunjukkan kepada raja.

Semoga dengan sedikit sebanyak bicara hati boleh menjadi renungan kita bersama. Perpaduan bangsa bererti perpaduan sesama kita, penyair, sasterawan, penulis, budayawan, pemikir dan ilmuwan agar jalan yang akan kita tempuh untuk meneruskan kesinambungan peradaban bangsa khususnya di Kelantan ini disuluh cahaya yang terang.

PROFIL

Penulis ialah mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia (PERADABAN) serta penyair. Rencana ini disunting daripada ucapan perasmian yang disampaikan pada Seminar Kepenyairan Kelantan di Kota Bharu, baru-baru ini.

71 dibaca
Berita Harian X