Selasa, 15 September 2015 | 11:50am

3 maut, 2 parah nahas motosikal dan dua kereta

LAHAD DATU: Tiga maut termasuk bayi berusia dua tahun manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta di Kilometer 6 Jalan Lahad Datu-Tungku, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu jam 7.40 malam, mangsa yang maut ialah Azra Syuhada Rony, 2, dan ibunya Heryna Badu yang menaiki Proton Iswara dan pembonceng motosikal dikenali sebagai Ainisal.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad, berkata kemalangan berlaku di simpang masuk Kampung Desa Bajau itu membabitkan Proton Iswara dinaiki dua beranak terbabit, Honda CRV dan sebuah motosikal yang ditunggang oleh tiga orang.

Hamzah berkata, siasatan awal mendapati Proton Iswara itu yang dalam perjalanan ke arah Tungku dari bandar Lahad Datu terlanggar motosikal berkenaan yang keluar dari simpang.

"Pelanggaran itu menyebabkan Proton Iswara dan motosikal terbabas ke lorong bertentangan dan dirempuh Honda CRV.

"Impak pelanggaran itu menyebabkan dua penumpang Proton Iswara dan seorang pembonceng motosikal meninggal dunia," katanya.

11 dibaca
Berita Harian X