Selasa, 15 September 2015 | 1:47pm

Pereka dalaman, juru x-ray dituduh miliki bahan berunsur pengganas


AZLEE (dua dari kanan) dan Ahmad (tiga dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar atas tuduhan memiliki bahan yang mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas kumpulan IS. - Foto Amran Hamid

KANGAR: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan memiliki bahan yang mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas kumpulan Negara Islam (IS).

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Azlee Md Salleh, 30, yang juga pereka hiasan dalaman dan Ahmad Kamil Ghazali, 24, yang bekerja sebagai juru x-ray Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Azlee pada 19 Ogos lalu kira-kira jam 8.30 pagi, di Taman Ira, di sini, didakwa memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi bahan berkaitan IS iaitu gambar bendera pergerakan militan itu.

Sementara Ahmad Kamil pula dituduh memiliki penerbitan yang berkaitan dengan IS, yang dilakukannya pada 19 Ogos lalu, kira-kira jam 7.50 pagi di Taman Kechor, di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130 JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nisla Abd Latif, di hadapan Pendaftar Mahkamah Monica Joseph Gaisah.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 September ini sebagai tarikh untuk sebutan semula kes sebelum ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Berita Harian X