Rabu, 16 September 2015 | 4:13pm

Syarikat penerbangan perlu pindah ke Terminal 1 KKIA - PM

NAJIB mahu semua syarikat penerbangan di KKIA supaya berpindah ke Terminal 1. - Foto Izhari Ariffin
NAJIB mahu semua syarikat penerbangan di KKIA supaya berpindah ke Terminal 1. - Foto Izhari Ariffin

[email protected]

 

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak mahu semua syarikat penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) berpindah ke Terminal 1 lapangan terbang itu secepat mungkin.

Perdana Menteri berkata, ketika ini Terminal 2 terlalu sesak serta tidak lagi mampu menampung pertambahan penumpang tempatan dan antarabangsa, apa lagi KKIA adalah lapangan terbang kedua paling sibuk di negara ini selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, kerajaan sudah memberi tempoh lama kepada AirAsia Bhd (AirAsia), iaitu satu-satunya syarikat penerbangan yang masih beroperasi di Terminal 2 serta enggan berpindah ke Terminal 1 sehingga melebihi tempoh akhir ditetapkan.

"Memandangkan Terminal 2 kini jauh melebihi kapasiti asalnya iaitu dua juta penumpang, sesak dan tidak selesa, adalah wajar keseluruhan operasi KKIA disepadukan di Terminal 1 untuk kemudahan dan perkhidmatan lebih efisien.

"Kita minta perkara ini dilaksanakan, ..tidak adil kepada penumpang kalau tak berpindah ke Terminal 1. Lapangan terbang ini (Terminal 1) cantik dan memang dirancang untuk masa depan rakyat Sabah, inilah sumbangan kerajaan Persekutuan," katanya ketika merasmikan Terminal 1 KKIA di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengerusi Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB), Tan Sri Wan Abdul Aziz Abdullah.

AirAsia sebelum ini beberapa kali enggan berpindah ke Terminal 1 dengan alasan ia akan mewujudkan persaingan sengit serantau, selain kesesakan serta kenaikan cukai lapangan terbang sebanyak RM35 boleh menjejaskan industri pelancongan di Sabah.

Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan dilaporkan akan campur tangan untuk menyelesaikan isu antara AirAsia dan MAHB untuk mencari jalan penyelesaian segera bagi mengelak kesulitan kepada pengguna lapangan terbang berkenaan.

Ketika ini, sebanyak 14 syarikat penerbangan termasuk tambang murah beroperasi Terminal 1 KKIA yang siap sepenuhnya pada tahun 2010 membabitkan kos RM1.7 bilion.

Sementara itu, Najib berkata, KKIA adalah hab pelancongan, pergerakan rakyat dan pemangkin perkembangan ekonomi, perdagangan serta pelaburan, khususnya bagi Sabah.

"Pada tahun 2014 sahaja, KKIA mengendalikan 6.79 juta penumpang dengan sejuta adalah pelancong asing, daripada jumlah itu 3.19 juta penumpang menggunakan Terminal 1 dan selebihnya di Terminal 2.

"Sekarang ini, KKIA menerima lebih 20 penerbangan terus dari tanah besar China ke Sabah setiap minggu dan saya diberitahu banyak lagi syarikat penerbangan mahu masuk Malaysia melalui Sabah. Ini menunjukkan sektor pelancongan Sabah amat besar potensinya," katanya.

Perdana Menteri berkata, MAHB bersetuju menyumbangkan RM10 juta kepada Lembaga Pelancongan Sabah sebagai galakan untuk meningkatkan lagi sektor pelancongan negeri, dengan syarat semua syarikat penerbangan berpindah ke Terminal 1.

Beliau juga meminta jabatan kerajaan khususnya Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia supaya sentiasa memberi khidmat mesra kepada pelancong kerana sikap mereka memberi gambaran awal berhubung Malaysia kepada pelawat luar.

Terminal 1 KKIA dilengkapi kemudahan 64 kaunter daftar masuk, 12 aero bridge serta mampu menampung 3,200 penumpang dalam satu masa.

Berita Harian X