Khamis, 17 September 2015 | 11:58am
KEADAAN jerebu dengan bacaan IPU mencecah 200, iaitu tahap tidak sihat di Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Jerebu: Operasi penerbangan di Kuching terjejas

KABUR... Jerebu tebal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200. - Foto NSTP

KUCHING: Jerebu tebal yang melanda bandar raya ini turut menjejaskan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Pengurus Kanan Operasi LTAK, Mohd Nadzim Hashim mengesahkan hingga jam 10 pagi tadi, dua penerbangan terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan susulan jarak penglihatan yang terhad.

"Ini membabitkan laluan dari Kuching ke Tanjung Manis, begitu juga sebaliknya yang menggunakan pesawat Twin Otter milik MASWings," katanya.

Katanya, sejumlah enam penerbangan mengalami kelewatan, masing-masing tiga pelepasan dan tiga pendaratan, membabitkan laluan Kuching ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Keseluruhannya, 861 penumpang terjejas disebabkan kelewatan ini.

"Justeru, Malaysia Airports Berhad (MAB) ingin menasihatkan penumpang yang menggunakan penerbangan melalui LTAB agar menyemak jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang," katanya.

Berita Harian X