Jumaat, 18 September 2015 | 4:31pm

Melaka perlu kreatif tarik pelancong: Ketua Menteri


KETUA Komander CAITA, Dr Chen Li Ji (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (dua dari kanan) ketika Majlis Pelepasan Konvoi CAITA 2015. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Melaka perlu kreatif dalam usaha menarik lebih ramai pelancong terutamanya dari luar negara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Katanya, ini kerana Melaka adalah negeri pelancongan yang mempunyai pelbagai daya tarikan termasuk destinasi pelancongan terkenal dan tinggalan sejarah yang boleh digunakan secara kreatif untuk menarik tumpuan pelancong dari serata dunia.

"Industri pelancongan adalah penyumbang terbesar bagi ekonomi negeri Melaka dan kerajaan negeri memang mengalu-alukan program kreatif membabitkan pelancongan terutama dari delegasi antarabangsa seperti China Asean International Touring Assembly (CAITA) pada hari ini.

"Program antarabangsa memberi impak yang tinggi pada ekonomi negeri selain mampu menaikkan imej atau nama Melaka di mata dunia yang membantu kita menarik lebih ramai pelancong," katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi CAITA 2015 di sini hari ini.

Pada majlis itu beliau melepaskan konvoi peserta CAITA dari Nanning, China disertai kira-kira 20 kenderaan pacuan empat roda membabitkan kira-kira 100 peserta yang menjelajah ke beberapa negara Asean termasuk Vietnam, Thailand dan Malaysia.

Idris berkata, agensi terbabit perlu merangka dan melaksanakan pelbagai usaha dan strategi yang kreatif untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru semua pihak di negara ini agar tidak menyentuh isu atau perkara membabitkan sensitiviti kaum atau bangsa tertentu yang telah termaktub dalam perlembagaan negara.

Katanya, ia kerana tindakan itu dikhuatiri mengundang reaksi negatif sehingga menggugat keamanan dan kemakmuran negara serta masyarakat berbilang kaum di Malaysia selain merugikan pelbagai pihak.

"Kita perlu bersama-sama menghargai apa yang telah dikecapi negara sehingga hari ini agar kita dan generasi seterusnya dapat menikmati kehidupan yang sempurna," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X