Sabtu, 19 September 2015 | 12:11am
SEBUAH tongkang yang membawa balak diperiksa dalam operasi di Sibu, Sarawak. - Foto ihsan Polis Marin
ANGGOTA Jabatan Hutan Sarawak (JHS) memeriksa kayu balak di sebuah kilang papan dalam operasi Ops UAV di kawasan tumpuan sepanjang Sungai Rejang. - Foto Nadim Bokhari
KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

'Lanun rimba' kepanasan akibat tindakan tegas Adenan


SIBU: "Don't mess with me (Jangan cari fasal dengan saya)," demikian kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, setiap kali ditemuramah pihak media mengenai usahanya memerangi kegiatan pembalakan haram di negeri ini.

  Amaran Adenan cukup membuatkan 'lanun rimba' bagaikan 'cacing kepanasan' apabila operasi bersepadu dilancarkan sejak beliau mengambilalih kepemimpinan negeri membabitkan pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan.

  Malah, peringatan sama turut ditujukan beliau kepada syarikat pemegang konsesi pembalakan dan pengusaha kilang papan berlesen di negeri ini agar tidak bersekongkol dengan 'lanun rimba' yang cukup rakus merompak khazanah hutan Bumi Kenyalang.

  Keseriusan Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Adenan terbukti dengan jumlah rampasan balak dan nilai tafsiran cukai perkayuan yang berjaya diperoleh hasil siri operasi dilaksanakan dalam tempoh setahun lalu.

  Sepanjang Februari 2014 hingga Ogos 2015, keseluruhannya 89,636 balak haram berjaya dikesan dan ditahan di seluruh negeri bagi tujuan siasatan mengikut Akta Perhutanan Sarawak, dengan nilai tafsirannya mencecah RM44.8 juta mengikut harga pasaran semasa.

  Ia turut menyaksikan kejayaan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) selalu agensi dipertanggungjawabkan memerangi kegiatan pembalakan haram itu, membantu menyelamatkan kehilangan hasil cukai perkayuan negeri berjumlah RM9.3 juta.


SEBAHAGIAN balak di sebuah kilang papan diperiksa dalam operasi Ops UAV oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) di sepanjang Sungai Rejang. - Foto Nadim Bokhari

  Jurucakap JHS memberitahu secara keseluruhannya, 16 operasi besar-besaran dilaksanakan dalam tempoh setahun lalu, termasuk Ops Balak yang bertumpu di wilayah tengah negeri ini, khususnya Bahagian Sibu dari 18 hingga 22 Ogos lalu.

  Katanya, melalui siri operasi itu, Bahagian Pencegahan dan Penguatkuasaan JHS turut mengenalpasti pelbagai modus operandi baharu digunakan 'lanun rimba' bagi mengaburi kegiatan haram mereka.

  "Dalam Ops Balak yang dilaksanakan, kita mendapati sebahagian besar balak haram atau 'kayu telanjang' bercampur dengan kayu yang diperoleh secara sah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, malah taktik itu memang sukar dikesan melalui pemantauan dari udara.

   "Bagaimanapun, helah mereka gagal memperdayakan anggota penguatkuasa di lapangan yang sememangnya berpengalaman mengesan balak haram," katanya kepada wakil BH yang turut serta dalam operasi itu.

  Melalui operasi khas itu, sekurang-kurangnya enam kilang papan berlesen yang beroperasi di sepanjang Sungai Rejang, di sini diperiksa selepas hasil maklumat risikan mendapati ada di antara pengusahanya mendapatkan bekalan balak dari sumber diragui.

  Katanya, Ops Balak menggabungkan gerakan darat dan udara membabitkan penggunaan dua helikopter bertujuan mempercepatkan penghantaran anggota penguatkuasa ke lokasi sasaran untuk proses siasatan lanjut.


OPS Balak membuktikan keberkesanan penggunaan teknologi dron. - Foto ihsan Polis Marin

  Malah, operasi terbaru itu turut dibantu penggunaan tiga pesawat tanpa udara (UAV) membabitkan kerjasama sebuah syarikat telekomunikasi berpangkalan di Kuala Lumpur, dengan kaedah itu kali pertama seumpamanya digunakan di Malaysia bagi tujuan memerangi 'lanun rimba'.

  "Dalam operasi dilaksanakan ini, kebanyakan pengusaha memberi alasan kekurangan bekalan menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan balak dari sumber diragui bagi menampung permintaan. Hasil soal siasat mendapati kebanyakan balak berkenaan diproses untuk kegunaan domestik.

  "Malah, pengusaha terbabit tidak menyangka operasi tetap dijalankan ketika musim cuti perayaan. Biarpun apa alasan diberikan, mereka tetap melakukan kesalahan mengikut Akta Perhutanan Sarawak kerana mendapatkan bekalan balak dari sumber haram yang boleh menyebabkan kehilangan royalti balak negeri," katanya.

  Katanya, Ops Balak juga membuktikan keberkesanan penggunaan teknologi UAV atau dron dalam meningkatkan kecekapan operasi penguatkuasa dilaksanakan, khususnya dalam memastikan pemegang konsesi pembalakan dan pemilik kilang papan berlesen di negeri ini sentiasa mematuhi syarat lesen.

  Sementara itu, Pengarah Perhutanan Sarawak, Sapuan Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan sehingga Julai 2015, sebanyak 127 kes pembalakan haram sudah disiasat, dengan keseluruhannya 250 individu sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan.

  Daripada jumlah keseluruhan itu, wilayah tengah negeri ini merangkumi Sibu, Sarikei, Kapit dan Mukah merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 87 kes.


PELBAGAI jenis dan saiz balak dirampas dari sebuah tongkang di Sibu, Sarawak. - Foto ihsan Polis Marin

  Ini diikuti wilayah selatan merangkumi Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong yang merekodkan 66 kes, dikuti wilayah utara merangkumi Miri dan Limbang (54 kes), selain Bintulu (43 kes).

  Katanya, pelbagai strategi digunakan JHS dalam usaha memerangi pembalakan haram di seluruh negeri.

  "Selain pemeriksaan mengejut di kawasan penyimpanan balak sama ada di kem pembalakan ataupun kilang pemprosesan, kita turut mengadakan sekatan jalan raya dan mewujudkan stesen pemeriksaan balak di lokasi strategik di seluruh negeri.

  "JHS turut menempatkan menempatkan kakitangan di beberapa 'export point' seperti di Tanjung Manis, di Sarikei, Kuala Kemena, di Bintulu, Kuala Tatau di Bintulu dan Kuala Baram di Miri bagi memantau dan memeriksa setiap kayu balak yang dibawa keluar.

  Bahagian Pencegahan dan Penguatkuasaan JHS melalui Unit Pembangunan Aplikasi Sistem (SADU) turut giat membangunkan teknologi termaju dalam membantu usaha mengekang kegiatan haram itu.

  Ia termasuk membangunkan sistem pengesan remote sensing high spectral menggunakan teknologi satelit, selain UAV atau dron yang pertama kali seumpamanya digunakan di negara ini.

12 dibaca
Berita Harian X