Isnin, 21 September 2015 | 4:13pm

Saintis tempatan perlu bergabung sebagai institusi kemuka pandangan: Madius Tangau


MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Welfred Madius Tangau (tengah) memalu gong sebagai gimik perasmian Persidangan Penyelesaian Isu Alam Sekitar dari Seluruh Dunia. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat melihat saintis tempatan membentuk kumpulan yang berupaya mengemukakan pandangan bagi menangani isu bencana alam di negara ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau.

Beliau berkata, pada masa ini pakar atau saintis terbabit hanya mengemukakan pandangan secara individu dan ia menyebabkan berlakunya pertentangan pendapat di kalangan mereka sehingga membawa kepada kekeliruan di kalangan orang awam, pihak berkepentingan dan kerajaan.

"Kerajaan melihat kepada institusi pendapat saintifik yang terdiri daripada para pakar yang akan memberikan maklumat dan analisis tepat serta boleh guna.

"Sebagai contoh kejadian gempa bumi baru-baru ini di Gunung Kinabalu, pakar-pakar hanya memberi penjelasan mengenai insiden secara individu berdasarkan pandangan masing-masing sehingga membawa kepada perbezaan pendapat," katanya selepas merasmikan Kongres Antarabangsa Sains dan Alam Semula Jadi (ISNaC) 2015 di sini hari ini.

Menurut Madius, pendapat saintifik yang diinstitusikan berfaedah kepada pemain ekonomi terutamanya yang terbabit dalam sektor pelancongan kerana mereka dibekalkan dengan pengetahuan boleh guna sebagai panduan perniagaan.

Sementara itu Madius berkata kerajaan memberikan perhatian khas kepada sains bahan dan teknologi nano.

Beliau berkata, kerajaan sedar pencapaian terkehadapan yang dicapai dalam sains bahan dan nano telah menghasilkan teknologi dan bahan termaju yang baharu yang memainkan peranan penting dalam ekonomi global dan pembangunan sosial.

Menurutnya, teknologi dan sains bahan termaju akan menjadi faktor penting dalam pembangunan manusia pada abad baru ini.

Sehubungan itu kerajaan menggesa ditingkatkan penyelidikan dan pembangunan dalam sains dan teknologi bahan, tambah Madius.

"Sama seperti teknologi bio sebelum ini kita menghadapi kesukaran memperkenalkannya kepada orang ramai tetapi ia berjaya menarik orang ramai meneroka potensi ekonominya, maka kerajaan juga yakin dengan potensi teknlogi nano," katanya.

ISNaC 2015 dianjurkan bersama Persatuan Saintifik Malaysia (MSA), Akademi Sains Malaysia (ASM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) - BERNAMA

Berita Harian X