Selasa, 22 September 2015 | 12:03am
KAIN berkilat. - Foto hiasan

Usah salah gaya ke tempat kerja


IMEJ positif memberi keyakinan dan semangat untuk anda bekerja dengan lebih baik. - Foto hiasan

PERNAHKAH anda melalui situasi melihat rakan hadir ke pejabat dengan warna merah terang, sehingga menarik perhatian rakan sekerja lain?

Kesilapan memilih gaya atau imej ke pejabat, bukan saja boleh menimbulkan rasa tidak selesa pada diri, malah turut menggamit pandangan sinis rakan sekerja. Ia satu yang amat memalukan.

Bagaimanapun, jika terlalu ringkas, apatah lagi selekeh, ia tidak mencerminkan penampilan yang baik bagi seorang pekerja. Realitinya, tidak dinafikan imej positif memberi keyakinan dan semangat untuk anda bekerja dengan lebih baik.

Ingatlah, gaya juga melambangkan personaliti anda. Apa kata, ikuti beberapa panduan disarankan ini supaya kekurangan dan ilmu dalam berpakaian ketika berada di pejabat dapat ditambah. Selepas ini mungkin anda meraih perhatian ramai rakan sekerja kerana lebih bijak bergaya ke pejabat.

1. Warna minimum

Cukup hanya menggunakan dua rona ketika berada di pejabat. Warna minimum dan tidak berlebihan, pilihan paling tepat bagi wanita berkerjaya untuk memilih pakaian ke pejabat. Warna yang paling maksimum adalah tiga warna. Jika anda memakai pakaian melebihi tiga warna, kesannya adalah kurang sesuai.


PEMILIHAN rona warna yang sesuai. - Foto Muhammad Sulaiman

2. Rona sesuai

Warna sesuai adalah coklat, krim, biru, merah jambu muda atau hitam. Pastikan juga pakaian anda tidak terlalu sarat dengan corak dan motif. Motif kosong menampilkan anda dengan imej lebih profesional. Ia juga memudahkan anda menyuai padan pakaian

3. Pelbagai gaya

Tidak semestinya berada di pejabat anda perlu memakai kemeja, skirt dan blaus saja. Baju kurung antara pilihan terbaik kerana bukan saja sopan, tetapi selesa. Walaupun begitu, elakkan memakai warna terlalu terang dan tidak perlu memakai baju dengan rekaan labuci dan manik terlalu sarat. Jenis ini hanya sesuai digayakan ketika pergi kenduri atau majlis makan malam.

4. Elak kain berkilat

Anda perlu faham dan bezakan jenis kain yang sesuai digayakan di pejabat. Elak memakai kain berkilau atau terlalu melekat pada badan seperti satin dan sifon. Lebih kemas dan sopan jika anda menggayakan baju fabrik kapas yang menyerap peluh dan selesa untuk anda ketika bekerja.


PASTIKAN pemilihan aksesori yang betul. - Foto hiasan

5. Gandingan aksesori

Ketahui fesyen itu bukan saja membabitkan pakaian, tetapi juga pemilihan aksesori. Jadi, kasut dan tas tangan anda juga memainkan peranan untuk menampilkan anda sebagai seorang pekerja di dalam pejabat, bukan seorang model atau 'badut'.

6. Jangan pakai sandal, selipar

Tidak kira betapa sakitnya kaki anda, sewajarnya anda memakai kasut yang sesuai untuk pakaian formal. Anda boleh memakai kasut tumit bergaya formal atau rata formal, tetapi tidak membuat kesilapan dengan memakai selipar, sandal atau manamana kasut lain yang kelihatan tidak profesional. Jika anda tidak suka tumit tinggi, pakailah kasut dengan tumit sederhana yang selesa dan nampak profesional.

7. Motif pilihan

Untuk tampil profesional ke pejabat atau ingin serlah gaya korporat, sebaik-baiknya hindari motif flora terutama bercorak besar dalam berpakaian. Motif polos dengan warna terang akan memberikan kesan lebih profesional dan lebih mudah untuk disuai padan.

'

8. Tudung

Jika sudah memakai baju bercorak, jangan padankan ia dengan tudung bercorak. Anda nampak berserabut dan memberikan imej kusut pada diri. Lebih manis jika pilih tudung ringkas, tetapi menawan. Pilih warna yang lembut dan hindari rona putih polos kerana ia akan membuatkan anda seperti memakai seragam sekolah di samping cepat kotor. Elakkan juga menggunakan kerongsang yang berkilau dan terlalu banyak batu. Ia nampak seperti anda mahu ke majlis dan bukan sedang bekerja. Ringkas itu lebih menawan.

9. Saiz sesuai

Begitu juga ketika memilih saiz pakaian. Memakai pakaian saiz yang salah boleh merosakkan imej anda di tempat kerja. Memakai seluar atau skirt yang terlalu longgar boleh memberikan imej yang anda tidak tahu bergaya dan ala kadar saja. Sebaliknya, memakai pakaian yang terlalu kecil atau terlalu ketat boleh membuat anda tampil sebagai seksi dan tidak sesuai untuk suasana pejabat. Cuba untuk mencapai keseimbangan sempurna dengan memakai pakaian sesuai dan bergaya pada masa yang sama. Pokoknya, bukan untuk menjadi benarbenar konservatif, tetapi tidak juga terlalu melampau.

10. Potongan fesyen sesuai

Bagi anda yang memilih memakai skirt ke tempat kerja, jangan membuat kesilapan fesyen dengan memakai potongan yang dianggap tidak sesuai. Skirt adalah pilihan yang baik untuk pakaian formal, tetapi panjang skirt untuk persekitaran perniagaan biasanya pada atau di atas paras lutut. Memakai skirt yang singkat boleh dianggap provokatif dan tidak sesuai, baik di tempat kerja atau persekitaran pejabat.

Berita Harian X