Selasa, 22 September 2015 | 12:29pm

Toi Hyper Act tampil dengan album solo, Mirip


TOI kini sibuk dengan kerjaya solo namun beliau sama sekali tidak mengabaikan Hyper Act. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Anggota Hyper Act, Toi bakal tampil dengan album solo berjudul Mirip sempena penerbitan filem dari judul sama.

Pemain bass dan vokalis kedua kumpulan itu yang popular dengan lagu Hanya Aku, mengakui peluang keemasan diberikan oleh penggubah lagu Bollywood, Krish tidak harus dipersiakan.

"Jujur bukan mudah untuk mendalami lagu berentak Bollywood menerusi filem Mirip ini. Saya mengambil masa juga untuk menghayati empat lagu karya Krish dan saya berpuas hati dengan hasil album itu.

"Saya juga perlu menonton filem Mirip ini bagi memastikan nyanyian saya bersesuaian dengan intonasi dan gerak gaya Fezrul Khan selaku teraju utama.

"Pernah juga saya berlari setempat di dalam studio untuk menyesuaikan suara saya dengan babak lakonan Fezrul itu," katanya kepada BH Online.

Filem Mirip arahan Jokin turut menampilkan Reen Rahim dan Ezzaty Abdullah selaku teraju utama. Ia akan ditayangkan di pawagam mulai 5 November ini.

Album runut bunyi Mirip nyanyian Toi memuatkan empat lagu iaitu Kini Telah Tiba, Bersama, Neon (duet bersama Salmah) dan Wahai. Antara keunikan lagu Wahai adalah ia dinyanyikan dalam tiga versi.

"Saya menganggap ia sebagai satu cabaran kerana bukan mudah untuk menyanyikan sebuah lagu yang mempunyai tiga versi. Setiap versi perlu diberikan penghayatan yang mendalam bagi menampilkan kelainan.

"Empat buah lagu ini dirakam dalam masa empat hari di Malaysia manakala proses 'mixing' dan sebagainya dilakukan di India," jelas Toi.

Berita Harian X