Ahad, 28 September 2014 | 6:04pm
TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Mohd Sabri Mohamad @ Ahmad (kanan) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas dalam Ops Cantas di Taman Sutera, dekat sini, Rabu lalu. - Foto Omar Osman

Polis tahan mekanik, rampas dadah bernilai lebih RM86,000

SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang mekanik lelaki berumur 33 tahun dan merampas 54 kg ganja dianggarkan bernilai RM86,400, menerusi Ops Cantas di Taman Sutera, dekat sini, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Mohd Sabri Mohamad @ Ahmad berkata dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada jam 8.40 malam itu, polis menemui 56 ketulan mampat daun kering disyaki ganja di ruang tamu rumah sewa suspek, di taman berkenaan.

"Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman selama enam hari, sehingga 30 Sept ini.

"Dalam serbuan sama, polis turut merampas dua buah kereta, Proton Iswara dan Wira, dianggarkan bernilai RM25,000, di bawah Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 Akta 340, untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, di sini, hari ini.

Mohd Sabri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kes berkenaan mungkin melibatkan satu sindiket pengedaran dadah, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kita percaya dadah yang dirampas ini sebenarnya sedang dalam proses untuk diedarkan ke pasaran setempat, namun setakat ini hanya seorang suspek yang ditahan," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X