Rabu, 23 September 2015 | 3:18pm

Keith Foo minta maaf rahsiakan perkahwinan

KEITH Foo (kanan) dan isterinya, Kim Raymond. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Pelakon kacak Keith Foo memohon maaf sekiranya tindakan beliau tidak menghebahkan perkahwinannya dengan Kim Raymond menyinggung mana-mana pihak.

Keith atau nama sebenarnya Foo Chuan Chin, 32, berpendapat walaupun bergelar anak seni, beliau berhak mempunyai ruang untuk hal peribadi.

"Saya bukan melakukan sebarang kesalahan atau menjalinkan skandal sebaliknya berkahwin. Keluarga dan rakan terdekat sudah dimaklumkan mengenai perkara ini terlebih dahulu bagi menghormati mereka.

"Namun, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada pihak yang tersinggung dengan tindakan saya tidak menghebahkan perkara ini kepada umum.

"Walaupun bergelar 'public figure', namun saya masih mempunyai hak untuk mempunyai privasi. Ada batas kerjaya dan peribadi yang tidak boleh dicampur-adukkan," katanya kepada BH Online.

Keith menamatkan zaman bujang selepas mendaftarkan perkahwinan pada 21 Disember tahun lalu.

Pelakon yang popular dengan drama bersiri Ariana Rose itu menjelaskan, beliau belum menetapkan sebarang tarikh untuk majlis resepsi perkahwinannya dan bakal mengumumkan kepada orang ramai apabila tiba masanya kelak.

"Saya dan Kim belum menetapkan sebarang tarikh kerana masing-masing sibuk dengan jadual penggambaran dan beberapa promosi. Namun, kami akan tetap adakan majlis dan mahu menjemput saudara-mara, rakan dan juga media apabila tiba masanya kelak," katanya.

Bercerita mengenai perjalanan kerjayanya, Keith bakal muncul menerusi filem Girlfriend Kontrak, yang akan ditayangkan mulai 24 September ini.

Selain itu, beliau juga bakal muncul dalam drama 28 episod berjudul Keluarga Pontimau untuk TV3 pada Oktober depan serta sebuah rancangan travelog, Hola Spain terbitan RTM.

Berita Harian X