Khamis, 24 September 2015 | 12:09pm

Aliran trafik lebuh raya utama lancar pagi ini

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan berjalan lancar setakat 11.30 pagi ini walaupun kenderaan bertambah apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd berkata, tiada kesesakan lalu lintas dilaporkan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

"Keadaan trafik lancar dan semua kemalangan yang berlaku pada awal pagi tadi sudah dibersihkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, aliran trafik di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT) turut dilapor bergerak lancar.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik LPT 2 di kedua-dua arah juga bergerak lancar tanpa sebarang gangguan.

Keadaan trafik sekarang adalah lancar dan kami tidak menerima sebarang aduan mengenai kemalangan setakat ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Orang ramai boleh mengetahui maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Berita Harian X