Ahad, 28 September 2014 | 11:39pm
AKSI Zulmazran Zulkifli di Incheon. - Foto Rosli Rahmat
AKSI Zulmazran Zulkifli di Incheon. - Foto Rosli Rahmat

Sukan Asia: Saya gembira, sedih menang perak boling - Zulmazran

INCHEON: Zulmazran Zulkifli menyifatkan kejayaan memenangi pingat perak acara trio lelaki, hari ini sedikit sebanyak mengubati detik kecewa selepas gagal beraksi baik pada acara perseorangan lelaki di Sukan Asia di Incheon, sebelum ini.

"Walaupun berjaya meraih pingat perak, saya rasa terkilan kerana gagal membuat jatuhan pin yang baik ... namun saya terus memberi semangat kepada rakan-rakan agar mereka terus memperbaiki kutipan pin," katanya.

Dia berkata perasaannya kini bercampur-baur antara gembira dan sedih kerana gagal beraksi baik sejak kebelakangan ini.

"Prestasi peribadi saya agak merosot dan ia cukup merisaukan saya sebagai seorang atlet," katanya.

Trio lelaki negara membabitkan Syafiq Ridhwan Abdul Malek-Tan Chye Chern-Zulmazran yang berjaya mengumpul 3,801 jatuhan pin di Anyang Hogye Gymnasium dekat sini, hari ini.

Sementara itu, emas menjadi milik pasukan Jepun (SasakiTomoyuki-Wada Shogo-Asato Shusaku) dengan 3,881 jatuhan pin iaitu lebih 80 pin di hadapan pasukan negara manakala gangsa menjadi miliki Korea Selatan (Kim Kyungmin-Park Jongwoo-Choi Bokeum) yang melakukan 3,715 jatuhan pin.

Pingat perak pertama kem boling negara sebelum ini disumbangkan oleh Shalin Zulkifli dan Sin Li Jane daripada acara beregu wanita.

Kejayaan trio lelaki negara itu mengatasi pencapaian pada temasya di Doha 2006 dengan menduduki tempat keempat dan tangga kesembilan ketika di Guangzhou 2010.

Sementara itu, Syafiq Ridhwan turut mengakui bahawa persembahannya pada set terakhir kurang memuaskan apabila gagal mengatasi trio Jepun.

"Saya rasa kesal apabila gagal membantu pasukan untuk mengatasi Jepun pada saat akhir walaupun berpeluang untuk berbuat demikian," katanya.

Trio kedua negara - Ang Hsien Loong-Ismail Rafiq-Liew Kien Liang pula hanya menduduki tempat ke-10 dengan kutipan 3,640 jatuhan pin. - BERNAMA

Berita Harian X