Jumaat, 25 September 2015 | 12:08am
RONNIE dan isteri. - Foto Adi Safri
RONNIE mendirikan rumah tangga pada tahun 2008. - Foto Adi Safri

Ronnie yakin mampu bersaing dengan artis kacak


WAJAH kacak atau jelita penyanyi utama atau vokalis, sering kali dilihat menjadi taruhan untuk memikat peminat dan menempa nama dalam industri. Tidak terkecuali di Malaysia, apabila paras rupa lebih diutamakan berbanding bakat menyebabkan bakat besar dipandang sepi jika ciri fizikal tidak menepati pakej.

Bekas vokalis Hyper Act, Ronnie Hussein, akur dengan keadaan itu. Malah mengakui, lebih merasai perit getirnya apabila mengambil keputusan untuk bergerak solo sejak awal tahun ini.

Cuma enggan terus larut dengan skeptikal itu, lelaki berusia 36 tahun ini terus tabah dan tawakal memperjuangkan legasi bakat seninya.

"Saya sedar hal itu dan kekurangan diri. Saya berdepan dengan masalah tak mempunyai rupa atau fizikal yang mereka mahukan. Saya sedar memang orang kita kebanyakannya memandang rupa. Bakat itu dikira bonus atau nilai tambah. Saya pernah lemah semangat dengan keadaan ini. Tapi jika saya terus berpeluk tubuh dan menjadikan ia sebagai halangan untuk maju, memang saya tak akan ke mana-manalah jawabnya.


RONNIE kini berusaha memperbaiki penampilan diri dan imej dalam memastikan kelangsungannya dalam industri hiburan. - Foto Goh Thean Howe

"Jadi saya kena bangkit dan berfikiran positif. Tak kira kalau tampil secara berkumpulan atau solo, saya tetap perlu menjaga imej. Oleh itu, saya berusaha mengubah imej dalam usaha membuatkan orang selesa memandang. Bagaimanapun, saya tetap yakin, bakat harus terus menjadi tunjang. Soal fizikal itu boleh diubah dan dicorakkan dari semasa ke semasa. Tak semua yang dilahirkan dengan bakat," katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, Ronnie mula melakukan perubahan. Sudah lima bulan beliau mengawal pemakanan, malah mendapatkan pandangan mereka yang pakar mengenai imej dan penampilan.

"Saya bersyukur kerana dikelilingi mereka yang sangat terbuka untuk membantu sekali gus memberi dorongan. Saya juga minta pendapat mereka yang arif mengenai imej dan penampilan. Dayang Nurfaizah pun tak lokek memberikan tip dalam penampilan saya. Dayang banyak bagi pandangan mengenai imej yang bersesuaian sebagai penyanyi solo agar saya tidak lagi dibayangi imej bersama kumpulan.

"Saya buat semua ini untuk diri sendiri, juga peminat dan orang sekeliling. Ada pakaian yang saya sudah boleh pakai dengan selesa dan tak ketat lagi selepas berat badan mula menurun," katanya sambil mengucapkan terima kasih juga kepada pihak pengurusan Indigital kerana menjaga dan menguruskan dirinya dengan baik.


RONNIE kini mahu lebih dikenali dengan nama Ronnie Hussein. - Foto Goh Thean Howe

Ditanya mengenai hubungannya dengan anggota Hyper Act, Ronnie berkata, mereka masih bersahabat seperti dulu walaupun jarang bertemu.

"Kalau terserempak saya atau mereka tidak ada masalah untuk bertegur sapa. Cuma sekarang saya sibuk mengukuhkan kerjaya solo jadi belum sempat hendak berjumpa dengan mereka.

"Walaupun saya tidak sempat melepak dengan mereka sekarang, kami selalu berhubung menerusi telefon," katanya.

Mahu dikenali dengan nama Ronnie Hussein, beliau sedar nama Ronnie Hyper Act sukar untuk dihakis dengan segera.

"Saya tak nafikan nama dan kumpulan Hyper Act banyak melonjakkan nama saya. Tapi saya tidak boleh terus statik dan kekal dengan nama itu. Jadi saya mahu dikenali dengan nama baharu dan menjenamakan nama Ronnie Hussein. Saya tak mahu timbul isu dan kekeliruan pada kemudian hari. Mungkin ambil masa untuk menghilangkan nama itu. Tak apa, semuanya boleh dilakukan perlahan-lahan." katanya.


PENYANYI, Hazama, Stacy dan Ronnie ketika menjadi guru pada Program Ceria Popstar. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd

Bercerita mengenai kerjaya solonya, Ronnie mempertaruhkan single Dikoyak Waktu, lagu ciptaan Aepul dari kumpulan Drama Band. Ketika ini, beliau dalam proses rakaman video muzik untuk lagu itu.

Ronnie juga terbabit dengan kolaborasi dengan kumpulan Audionauts menerusi lagu Andromeda. Lagu itu juga dicalonkan dalam kategori Kolaborasi Terbaik (Artis), Anugerah Planet Muzik (APM)2015, yang bakal berlangsung di Singapura, 9 Oktober ini. Mereka berentap dengan Cakra Khan dan Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Seluruh Cinta, Kaka Azraff menampilkan Sleeq (Bukan Hal Aku), Reyza Hamizan menampilkan Caprice (Helah) serta Stacy dan Ungu dengan lagu Berteman Sepi.

"Secara peribadi, saya suka lagu Andromeda. Liriknya sangat mendalam. Terima kasih kepada Audionauts kerana sudi berkolaborasi dengan saya. Dapat top 5 di APM2015 satu rahmat buat kami. Menang pastinya bonus," katanya.

INFO: Ronnie Hussein

  • Nama sebenar, Shahron Hussien dan mendirikan rumah tangga dengan Hafizah Yahya pada tahun 2008.
  • Ronnie dan isteri mengendalikan kedai makan, Ibunda Seafood di Johor Bahru
  • Membela anak angkat berusia sembilan tahun dan sekarang, isterinya hamil serta dijangka melahirkan anak pertama mereka tahun depan.

11 dibaca
Berita Harian X