Jumaat, 25 September 2015 | 12:39pm

2 maut motosikal langgar bas ekspres di Kinabatangan

KINABATANGAN: Dua warga Indonesia maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka berlanggar dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 134 Jalan Sandakan-Lahad Datu, awal pagi ini.

Penunggang motosikal dikenali sebagai Piki Omar, 38, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas digilis tayar belakang bas ekspres.

Pembonceng motosikal, Rizal Riduan, 20-an, yang juga mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, meninggal dunia 9 pagi ini ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt A Sahak Rahmat, berkata nahas berlaku pada 2.10 pagi dan siasatan awal mendapati bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju Lahad Datu.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa dari arah bertentangan melanggar bahagian tepi sebelah kanan bas ekspres menyebabkan penunggang motosikal tercampak di atas jalan dan digilis tayar belakang sebelah kanan bas ekspres.

"Pembonceng motosikal itu (Rizal) dibawa oleh pemandu bas ekspres ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungii.

Beliau berkata pemandu bas ekspres dibebaskan dengan jaminan polis dan sampel darahnya telah diambil untuk ujian alkohol, manakala bas ekspres ditahan dan akan dihantar menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

- BERNAMA

11 dibaca
Berita Harian X