Sabtu, 26 September 2015 | 12:04am

Sumbing bukan cacat sepanjang hayat

BAYI yang dilahirkan dengan keadaan bibir sumbing dan lelangit merekah mempunyai harapan cerah tampil sempurna melalui pembedahan plastik dan rawatan terapi.

BAYI yang dilahirkan dengan keadaan bibir sumbing dan lelangit merekah mempunyai harapan cerah tampil sempurna melalui pembedahan plastik dan rawatan terapi.

  Bagaimanapun, rawatan pemulihan mungkin mengambil tempoh panjang sehingga 20 tahun kerana usaha itu perlu dijalankan secara berperingkat.

Proses rawatan pula, membabitkan pelbagai bidang kepakaran iaitu Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), pergigian, pembedahan plastik, terapi pertuturan dan kaunseling klinikal genetik untuk keluarga.

Rawatan paling awal adalah pada usia bayi enam bulan bagi memulihkan bahagian bibir  menerusi pembedahan khas diikuti pembedahan lelangit apabila bayi berusia sembilan bulan.

  Pensyarah Pergigian, Jabatan Pembedahan Oro Maxillofacial dan Sains Perubatan Fakulti Pergigian, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Firdaus Hariri, berkata apabila kanak-kanak terbabit mencapai usia lapan tahun, lelangkit perlu ditutup menggunakan tulang pinggul pesakit sendiri.

   Tulang pinggul pesakit kata beliau, akan diambil dan dijadikan dalam bentuk serbuk untuk digunakan bagi menutup lelangit yang merekah.

   "Selain pembedahan plastik, pesakit juga perlu menjalani terapi pertuturan selain menjalani kaunseling bagi meningkatkan keyakinan diri," katanya.

   Bibir sumbing kata Dr Firdaus berlaku ketika kehamilan berusia empat bulan di mana terdapat lubang di antara mulut dan hidung bayi.

  Beliau berkata, bibir ditutup secara semulajadi pada minggu kelima dan keenam ketika dalam kehamilan manakala lelangit pula terbentuk pada minggu ke-10.

   Rekahan pada lelangit pula berlaku apabila terdapat lubang pada bumbung mulut, yangmana kedua belah lelangit tidak tertutup pada minggu kesepuluh.

   Dr Firdaus berkata secara amnya, sumbing bibir dan rekahan lelangit berlaku ke atas seorang daripada setiap 1,000 kelahiran.

   Sesetengah negara tidak membangun seperti Myanmar berkemungkinan besar mempunyai kadar bayi yang dilahirkan sumbing bibir dan rekahan lelangit lebih tinggi.

   Berdasarkan pengalaman beliau ketika menyertai misi perubatan di sebuah kawasan pedalaman di Myanmar sebelum ini, mendapati terdapat 102 bayi dan kanak-kanak mengalami sumbing bibir dan rekahan lelangit datang bagi mendapatkan rawatan.

  "Di negara ini pula, Sabah dikenal pasti memiliki kadar bayi yang dilahirkan dengan bibir sumbing dan rekahan lelangit lebih tinggi berbanding negeri lain.

"Ini disebabkan ramai yang tidak mendapatkan rawatan kerana kurang kesedaran mengenai kemudahan disediakan," katanya.

  Katanya, keadaan bibir sumbing dan rekahan lelangit boleh dikesan ketika dalam kandungan oleh pakar sakit puan. Pengesanan bagi membolehkan ibu bapa bersedia emosi menghadapinya. 

  Bagaimanapun, kebanyakan kes yang tidak dapat dikesan menyebabkan ibu bapa terkejut sebaik bayi dilahirkan.

Ramai juga ibu bapa yang tidak mengetahui terdapat pusat rujukan khusus untuk bibir sumbing dan rekahan lelangit di kebanyakan hospital tempatan seperti di Pusat Perubatan Universiti Malaya(PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

  "Terdapat banyak gabungan faktor yang menjadi punca berlaku bibir sumbing dan rekahan lelangit termasuk kurang zat pemakanan semasa hamil, pengambilan bahan mengandungi toksid seperti rokok dan alkohol serta ubat aspirin untuk merawat jantung.

   "Faktor genetik turut meninggalkan kesan, yang mana ia boleh diwarisi daripada keluarga yang pernah mengalaminya, termasuk daripada perkahwinan sesama saudara terdekat yang boleh meningkatkan lagi risiko," katanya.

  Katanya, bibir sumbing dan rekahan lelangit perlu dirawat kerana ia bukan saja meninggalkan kesan ke atas tumbesaran bayi tetapi juga emosi apabila meningkat dewasa. 

   Keadaan ini mengganggu fungsi pemakanan, bayi sukar menyusu apabila susu keluar menerusi hidung dan tidak boleh ditelan.

   Ini menyebabkan mereka mengalami kekurangan zat pemakanan dan seterusnya proses tumbesaran terganggu.

"Rekahan lelangit juga membabitkan bahagian dalam tulang telinga yang boleh mengganggu pendengaran dan tulang yang menyokong mata turut menjejaskan penglihatan.

   "Kesan emosi mula dirasai sebaik kanak-kanak ini memasuki alam persekolahan yang pastinya menyebabkan mereka kurang keyakinan akibat keadaan dialami," katanya yang menjelaskan setakat ini PPUM merawat hampir 500 pesakit.

  Katanya, kos keseluruhan rawatan secara purata boleh mencecah RM10,000 sehingga RM12,000.

   Bagi kes yang memerlukan alat khas untuk pembedahan terutama rekahan yang besar sehingga dua sentimeter boleh mencecah sehingga RM30,000.

Berita Harian X