Ahad, 27 September 2015 | 12:02am

Penanaman karang di Pulau Tinggi

KEWUJUDAN karang seumpama taman di bawah air yang bukan sahaja mempesonakan hidupan marin tetapi juga kepada mereka yang gemar melakukan aktiviti menyelam.

Malahan, kewujudan karang yang cantik juga menjadi faktor kedatangan pelancong untuk bercuti di sesebuah pulau atau pantai di negara kita.

Bagaimanapun, atas faktor perubahan alam, banyak karang di perairan negara kita mengalami kerosakan dan kelunturan serius seperti pada tahun 2010 apabila berlaku peningkatan suhu air laut yang luar biasa.

Selain itu, kemusnahan karang juga berpunca daripada kegiatan manusia yang kurang kesedaran untuk menghargai alam.

Menyedari pentingnya kewujudan karang pada sektor pelancongan dan kelangsungan hidupan marin di perairan negara, Jabatan Taman Laut Malaysia (JLTM) mengadakan program penanaman karang dengan kerjasama bersama Reef Check Malaysia (RCM) dan sekumpulan pakar hidupan marin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penulis berpeluang melihat proses penanaman semula karang ini yang dilakukan di Pulau Tinggi, iaitu antara gugusan pulau dalam Taman Laut Negeri Johor.

KERANGKA yang dibina menggunakan PVC untuk menghasilkan karang di Pulau Tinggi. - Foto Zunnur Al Shafiq
KERANGKA yang dibina menggunakan PVC untuk menghasilkan karang di Pulau Tinggi. - Foto Zunnur Al Shafiq

Antara proses itu ialah mengikat anak karang atau nubbin pada bahagian atas kerangka yang dibuat daripada PVC dengan jarak bersesuaian.

Kerja mengikat nubbin itu dilakukan di dalam air di Pantai Pulau Tinggi. Kerangka PVC yang diikat dengan nubbin dibawa oleh empat juruselam dari JTLM untuk diletak di lokasi yang sesuai di perairan itu.

Pengarah JTLM, Nizam Ismail, berkata sepanjang tahun 2014, sebanyak 1,380 nubbin ditanam di tapak semaian karang iaitu di sekitar Pulau Tinggi.

"Kita menggunakan nubbin iaitu karang yang patah dan jatuh ke dasar, namun ukurannya jangan kurang daripada 10 sentimeter bagi memastikan ia dapat hidup dan membesar.

"Penanaman semula karang menggunakan karang bentuk 'branching' dan 'staghorn' dari jenis 'Acropora spp' kerana karang jenis ini mempunyai tumbesaran yang cepat dan mudah diperoleh di perairan Taman Laut. Pertumbuhannya dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan berbeza-beza mengikut lokasi dan sekitaran masing-masing," katanya.

Sehingga Ogos 2015, lebih 4,000 nubbin ditanam dan separuh daripadanya diletakkan di Pulau Tinggi, manakala selebihnya di Pulau Aur.

SEORANG peserta menyiapkan kerangka dalam aktiviti penanaman karang di Pulau Tinggi. - Foto Zunnur Al Shafiq
SEORANG peserta menyiapkan kerangka dalam aktiviti penanaman karang di Pulau Tinggi. - Foto Zunnur Al Shafiq

Nizam berkata, JTLM akan terus memberi penekanan ke atas program itu bagi memastikan kepelbagaian biologi marin di perairan Taman Laut terus terpelihara untuk generasi sekarang dan akan datang.

"Tapak nurseri karang pertama di perairan negara ini diletak di Kampung Tetek, Pulau Tioman, Pahang, dengan 61 kerangka PVC pada 29 April 2011. Nurseri karang kedua membabitkan 60 kerangka PVC di Terengganu, yang diletak di hadapan Bubble Resort pada 2012.

"Pertumbuhan restorasi karang itu di Pulau Tioman sehingga pertengahan 2013, amat positif dan Majlis Biodiveriti Negara (MBN) melalui NRE mahu program ini diperluaskan ke seluruh negara," katanya.

Secara keseluruhannya, lebih 15,000 nubbin akan disemai di Taman Laut di seluruh negara.

PROSES mengikat anak karang atau nubbin pada bahagian atas kerangka yang dibuat daripada PVC. - Foto Zunnur Al Shafiq
PROSES mengikat anak karang atau nubbin pada bahagian atas kerangka yang dibuat daripada PVC. - Foto Zunnur Al Shafiq

INFO: Taman Laut Negeri Johor

  • Taman Laut Johor terdiri daripada 13 pulau yang berada dalam jarak lapan hingga 35 batu nautika di timur Mersing.
  • Gugusan pulau dan perairan sekitarnya diwartakan sebagai Taman Laut pada 1994 di bawah Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1993).
  • Ia merangkumi Pulau Harimau, Pulau Mensirip, Pulau Goal, Pulau Besar, Pulau Tengah, Pulau Hujung, Pulau Rawa, Pulau Tinggi, Pulau Mentinggi, Pulau Sibu, Pulau Sibu Hujung, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur.
  • Topografi pulau ini dicirikan oleh pinggiran pantai yang sempit, meninggi ke rabung dan tubir berbatu. Ketinggian bukit ini dianggarkan menjangkau sehingga ke 600 meter di Pulau Tinggi.
  • Pinggir pantai terdiri daripada pasir halus yang dipenuhi dengan lapisan batu dan pantai lanar yang berpunca dari laut. Sebahagian besar pedalaman pulau dipenuhi hutan, dengan pokok buah-buahan dan kelapa memenuhi sekeliling kampung dan rumah rehat.
Berita Harian X