Ahad, 27 September 2015 | 6:10pm

Jerebu: Penerbangan sektor Kuching-Pontianak-Kuching dibatal

KUCHING: Penerbangan bagi sektor Kuching-Pontianak-Kuching dibatalkan sehingga diberitahu kelak berikutan keadaan jerebu, kata Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), Mohd Nadzim Hashim.

Beliau berkata, setakat 3 petang tadi terdapat dua penerbangan dibatalkan, satu ketibaan dan satu pelepasan bagi sektor itu susulan jarak ketampakan hanya kira-kira 900 meter.

"Semua penumpang dimaklumkan lebih awal berhubung pembatalan itu," katanya ketika dihubungi.

Mohd Nadzim berkata, setakat jam 3 petang tadi, sebanyak sembilan penerbangan mengalami kelewatan, lima pelepasan iaitu bagi Kuching-Kuala Lumpur dan Kuching-Sibu, dan empat ketibaan membabitkan sektor Kuala Lumpur-Kuching dan Sibu-Kuching.

"Seramai 1,143 penumpang terbabit dalam kelewatan, (iaitu) ketibaan seramai 494 penumpang dan pelepasan 649 orang," katanya.

Beliau berkata, satu penerbangan iaitu penerbangan MH2542 bagi sektor Kuala Lumpur-Kuching yang dilencongkan ke Sibu.

Mohd Nadzim menasihatkan semua penumpang penerbangan melalui LTAK menyemak jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing.

- BERNAMA

Berita Harian X