Isnin, 28 September 2015 | 12:16am

Aliran trafik di lebuh raya utama perlahan setakat 10.30 malam


KEADAAN trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Seremban menghala ke Kuala Lumpur sesak berikutan warga kota mula pulang ke ibu negara selepas cuti Aidiladha. - Foto Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama bergerak perlahan setakat 10.30 malam ini berikutan orang ramai mula menuju ke destinasi masing-masing selepas berakhirnya cuti persekolahan dan Aidiladha.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Malaysia Bhd berkata trafik dilaporkan perlahan dari Sungai Petani Selatan ke Bertam, Bukit Gantang ke Bukit Berapit dan Ipoh Selatan ke Simpang Pulai.

Trafik turut perlahan dari Gopeng ke Slim River, Lembah Beringin ke Bukit Tagar dan Bukit Beruntung ke Rawang.

"Bagi Lebuhraya PLUS arah Selatan pula, trafik dilapor sesak dari Machap ke Simpang Renggam berikutan satu kemalangan maut membabitkan lima buah kereta dan sebuah motosikal di Kilometer 67.4 laluan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Selain itu, katanya trafik juga dilapor perlahan di Hentian Sebelah Senawang menuju ke Port Dickson.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak bergerak perlahan dari Karak ke Plaza Tol Bentong, Lentang ke Bukit Tinggi dan Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak.

"Aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur 2 ketika ini dilapor bergerak lancar," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Berita Harian X