Isnin, 28 September 2015 | 10:49am
TUJUH suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret 7, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan membunuh Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais. - Foto Aizuddin Saad

7 tertuduh hadapi hukuman mati, 30 November sebutan kes


SALAH seorang suspek kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais dibawa ke Mahkamah Majistret, sebentar tadi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, sebentar tadi atas dakwaan membunuh Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais, 55.

Sementara itu, bekas Ketua Makmal Patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Dr R Kunaseegaran, didakwa di mahkamah sama atas dakwaan bersubahat melakukan kesalahan itu pada 4 September lalu.

Semua tertuduh bagi kesalahan membunuh ialah G Gunasekaran, 43; R Dinishwaran, 23; A Thinesh Kumar, 22; M Vishwanath, 25; S Nimalan, 22 dan S Ravi Chandaran, 34.

Bagi tuduhan bersubahat pula, tertuduh adalah Pakar Patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 52.

Enam tertuduh berkenaan didakwa membunuh Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, Sentul ke No 1, Jalan USJ1/6D, Subang Jaya pada 4 September di antara jam 7 pagi dan 8 malam.

Semua tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kunaseegaran pula didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 302 Kanun sama, yang turut memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes berkenaan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan pada 30 November bagi sebutan kes.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Datuk Abdul Razak Musa. Dhineshwaran diwakili peguam M Manoharan, manakala Kunasegaran diwakili peguam Datuk N Sivananthan. Tertuduh lain tidak diwakili peguam.

39 dibaca
Berita Harian X