Isnin, 28 September 2015 | 9:05pm

7 lagi penerbangan alami kelewatan, 1 dijadualkan semula di Kuching

PENUMPANG mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. - Foto Mohd Radzi Bujang.

KUCHING: Tujuh lagi penerbangan melibatkan 40 penumpang mengalami kelewatan akibat jerebu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching setakat 6 petang tadi.

Pengurus kanan lapangan terbang itu, Mohd Nadzim Hashim berkata, ia membabitkan lima ketibaan dan dua pelepasan, melibatkan penerbangan MASwings yang menggunakan pesawat Twin Otter dan ATR.

Beliau berkata tujuh penerbangan yang terjejas itu menjadikan jumlah keseluruhan 15 penerbangan mengalami kelewatan sejak operasi lapangan terbang bermula 5.30 pagi tadi.

"Berbanding 11 pagi tadi, lapan penerbangan mengalami kelewatan. Kelewatan 15 penerbangan itu memberi kesan kepada 1,039 penumpang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Satu penerbangan AirAsia daripada 22 penerbangan syarikat tersebut pula yang dibatalkan pagi ini telah dijadualkan semula petang tadi, kata Mohd Nadzim.

"AirAsia telah menjadualkan semula satu penerbangan AK5233 ke Kuala Lumpur yang jadual waktu berlepas pada 11.55 pagi. Waktu pelepasan baharu ialah pada 4.15 petang dengan 180 penumpang," katanya.

Beliau berkata dengan penjadualan semula itu, jumlah penerbangan yang dibatalkan ialah 25 membabitkan 22 penerbangan AirAsia dan tiga penerbangan MASwings.

Pembatalan penerbangan hari ini mengakibatkan 2,932 penumpang terjejas, katanya. - BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X