Khamis, 1 Oktober 2015 | 12:02pm

BSN sudah luluskan RM57.5j Skim Perumahan Belia

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan Skim Perumahan Belia (YHS) bagi membantu pasangan belia dengan gabungan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan memiliki rumah pertama.

YHS yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2015 itu dilaksanakan secara perkongsian pintar oleh BSN bersama Perbadanan Gadai Janji Nasional, Cagamas Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata BSN yang juga institusi kewangan tunggal melancarkan YHS bersedia untuk memberi perkhidmatan bagi merealisasikan impian golongan muda, sekali gus mencapai hasrat kerajaan.

"Justeru, saya mengalu-alukan pasangan belia yang sudah berkahwin untuk mengambil peluang ini sebaik mungkin kerana skim ini terhad kepada 20,000 yang pertama," katanya pada majlis pelancaran YHS BSN di sini, hari ini.

Pelancarannya disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

YHS terbuka kepada pasangan berusia antara 25 dan 40 tahun dan BSN akan menyediakan pinjaman perumahan antara RM100,000 hingga RM500,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga 35 tahun atau hmur 65 tahun tertakluk kepada mana terdahulu.

Pinjaman itu boleh dilakukan menerusi kaedah konvensional dan Islam dengan margin pembiayaan sehingga 100 peratus harga pembelian.

Pemohon yang berjaya juga akan menerima pembiayaan tambahan hingga lima peratus daripada harga pembelian untuk kos Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) atau Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT).

Abu Bakar berkata, hingga 21 September lalu, sebanyak 225 pinjaman diluluskan dengan jumlah pembiayaan RM57.5 juta sejak YHS yang ditawarkan oleh BSN mula diperkenalkan pada Julai lalu.

Berita Harian X